Kerajaan Hari Ini Berdepan Krisis Keyakinan Pelabur – Rahman


KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melihat apa yang berlaku dalam negara hari ini melibatkan krisis keyakinan dan ianya merupakan satu aspek penting dalam sesebuah pentadbiran kerajaan.

Menurut beliau keyakinan adalah kunci utama kepada sesebuah ekonomi dan apabila bajet dibentangkan ianya mestilah memberi keyakinan dan seandainya keyakinan tidak ada dalam mana-mana negara tentang ekonomi serta dasar kerajaan maka ekonomi akan menguncup.

“‘Simple theory’ ekonomi. Keyakinan amat penting. Semua itu adalah keyakinan. Contohnya kalau bajet itu memberikan keyakinan kepada pelabur sudah tentu pelabur akan berani mengambil risiko untuk melabur serta membesarkan kilang mereka, membina kilang yang baru dan akhirnya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Tetapi jika mereka tidak yakin bahawa tahun-tahun yang mendatang ini tidak akan membawa pulangan kepada mereka kalau mereka melabur sekarang, apa yang berlaku ialah mereka akan memberhentikan cadangan untuk membuka kilang yang baru atau membesarkan kilang yang ada sekarang,” katanya menerusi Segmen Dari Parlimen terbitan Penerangan UMNO TV yang mengupas topik ‘Belanjawan 2020: Tidak Menguntungkan Sabah & Sarawak’, malam tadi.

Tambah Rahman yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), ‘worst scenario’ kalau mereka mengecilkan saiz kilang mereka atau perniagaan sehinggakan membantutkan peluang pekerjaan sekaligus mengurangkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Sambung hujahnya lagi keyakinan ini amat penting dan sebab itu kenapa ringgit tidak kuat… sebab keyakinan… keyakinan terhadap prestasi menteri kewangan, terhadap prestasi kerajaan, terhadap dasar kerajaan yang digarapkan dalam bajet negara.

“Jadi kalau orang tidak yakin maka mereka akan keluarkan duit dalam ringgit dan masukkan dalam mata wang yang lain, sebab itu nilai ringgit akan jatuh sekarang ini, pelabur yang memegang ringgit mengharapkan nilai ringgit lebih kuat pada masa akan datang.

“Tukar duit kepada duit Amerika, Euro, yen dan sebagainya dan ini akan menyebabkan ringgit Malaysia akan berkurangan dan di sinilah konsep keyakinan amat penting. Begitu juga Bursa… buat apa nak pegang saham-saham dalam BSKL kalau keyakinan mereka dalam masa dua tiga tahun mendatang tidak akan mendapat keuntungan,” katanya.

Katanya lagi lebih baik mereka laburkan duit mereka di negara-negara lain dan di situ ada dua masalah.

“Satu dia keluarkan duit daripada Bursa dan satu lagi dia tukar duit. Sebab dia nak pergi ke Amerika pula dia kena beli duit Amerika dan jual duit ringgit. Jadi pada saya masalah terbesar yang dihadapi oleh menteri kewangan ialah krisis keyakinan,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.