Blok Pembangkang Kesal Speaker Tolak Usul Bahas Komik Promosi Ideologi Komunis


KUALA LUMPUR, 23 Okt – Blok pembangkang hari ini melahirkan kekecewaan terhadap tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang menolak usul bagi membahas pengedaran buku komik propaganda di sekolah-sekolah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Speaker itu adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Padang Terap telah membentangkan usul supaya pihak kerajaan iaitu KDN mengharamkan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manafaat Bersama’ namun Padang Terap mendapat jawapan daripada Speaker usul itu ditolak.

“Jadi kita kesal dengan keputusan Speaker kerana kita lihat buku ini sepatutnya tidak dibenar diedarkan, perlu diharamkan kerana beberapa sebab. Pertamanya, buku ini mempromosikan ideologi sosialisme komunisme China.

“Seperti kita tahu negara China adalah negara komunis dan buku ini mempromosikan ideologi tersebut. Kalau kita lihat di muka surat 10, jelas mengatakan kejayaan China itu bukti bahawa model ekonomi sosialisme mempunyai daya saingan abad ke-21 dan model yang sepatutnya menjadi inspirasi kepada negara lain,” ujar beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, ini secara jelas membuktikan buku tersebut mempromosikan ideologi komunis dan apabila ia diedarkan di sekolah, ini membawa maksud ada cubaan untuk menerapkan ideologi komunisme di kalangan pelajar sekolah.

Beliau turut membidas bahawa buku tersebut juga berlaku tidak adil kepada Melayu dan Islam di negara ini apabila di muka surat 3 jelas mengatakan bahawa 18 peratus rakyat menyokong jemaah Islamiah yang dikatakan sebagai kumpulan ekstrimis.

“Kalau nak katakan sokongan kepada golongsn ekstrimis ini, masyarakat India yang juga menyokong LTTE misalnya, tidak pula dimasukkan dalam buku ini.

“Ini seolah-olah memberi gambaran umat Islam di negara ini menyokong kumpulan ekstrimis di negara ini.

“Sebab itu kita berpandangan buku ini tidak layak dibiarkan dan pihak KDN mesti mengharamkan dan menyekat pengedarannya,” tegas beliau lagi.

Sementara itu dalam sidang media yang sama Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebagai bekas Menteri Pendidikan, edaran buku di sekolah seharusnya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa di Jabatan pendidikan.

“Apabila pihak berkuasa di Jabatan Pendidikan mendapati buku ini ada unsur-unsur yang boleh ditakrifkan sebagai berkaitan dengan keselamatan negara, buku ini hendaklah dihantar kepada KDN untuk meminta kebenaran percetakan.

“Kalau KDN kata tidak boleh dicetak dan diedarkan maka buku ini tidak boleh diedarkan. Sekarang ini, buku komik ini tidak ada kedua-dua kelulusan ini tapi terus buat edaran di sekolah.

“Kalau ikut dasar yang lalu, buku ini memang salah tapi tak tahulah kalau Malaysia Baru nak tukar dasar,” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.