Nasib 762,635 Pekebun Kecil Dan Peneroka Sawit Terancam Kerana Dasar PH – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius pelbagai laporan media dalam dan luar negara berkenaan ancaman kerajaan India untuk memboikot dengan menghadkan import produk kelapa sawit negara.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sehingga kini Pemuda UMNO tidak melihat suatu tindakan ‘preemptive’ yang berkesan dan serius dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak harga minyak sawit mula merudum setelah perubahan kerajaan pada Mei 2018.

“Pendirian India berpunca daripada tindak tanduk Malaysia yang dilihat mencampuri konflik mereka dengan Pakistan melalui ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed di Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Tindakan India ini jika benar-benar berlaku pastinya akan memberi kesan kepada industri minyak sawit negara memandangkan India merupakan negara pengimport minyak sawit terbesar bagi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, merujuk kepada data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada tahun 2018, India mengimport produk minyak sawit sebanyak 2,514,008 tan metrik berbanding China sebanyak 1,859,748 tan metrik.

“Bagi tahun 2019 sehingga September, eksport kelapa sawit ke India meningkat dengan jumlah 3,908,212 tan metrik, melebihi dari jumlah eksport tahun-tahun sebelumnya.

“Semakan terhadap harga Minyak Sawit Mentah (CPO) semasa setakat 17 Oktober 2019 adalah RM2,105.00 bagi 1 tan metrik, manakala harga Buah Tanda Segar (BTS) pula adalah RM420 se tan.

“Ini menunjukkan kejatuhan harga CPO sebanyak 17% dan harga BTS sebanyak 24% sejak PH memerintah pada Mei 2018,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Dr Asyraf menyatakan kebimbangan jika India benar-benar meneruskan hasrat mereka memboikot minyak sawit negara, pastinya bakal mengundang malapetaka besar kepada hampir tiga juta pekerja industri yang menyumbang nilaian eksport negara bernilai hampir RM80 billion setahun.

“Ini juga termasuk kehidupan 650,000 pekebun kecil sawit dan 112,635 peneroka FELDA yang rata-rata hari ini pun merana kerana membawa pulang pendapatan bersih hanya RM300-400 sebulan berbanding sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) sekitar RM1500-2,000 sebulan,” ujarnya.

Justeru itu tambah Dr Asyraf, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan PH bertindak segera untuk menyelesaikan isu diplomasi dengan kerajaan India dan ancaman kejatuhan harga minyak sawit.

“Menteri Industri Utama Teresa Kok tidak seharusnya selesa dengan program Sayangi Sawitku atau Kempen Minum Secamca Minyak Sawit Sehari dengan peruntukan sebanyak RM27 juta dalam Belanjawan 2020.

“Sebaliknya, beliau mestilah tampil menjelaskan perancangan komprehensif kementerian untuk mendepani kempen anti minyak sawit yang bukan sahaja dilakukan oleh India malah telah bermula di Amerika dan Eropah,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.