Sukar Bukan Halangan BN Hulur Bantuan – Mat Nadzari

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Walaupun Barisan Nasional (BN) bukan lagi kerajaan namun itu bukan satu halangan bagi terus berkhidmat untuk masyarakat.

Dalam kekangan, Badan Amal dan Kasih Selangor bersama-sama UMNO dan MIC bahagian Ulu Selangor terus mengadakan aktiviti kemasyarakatan program sentuhan kasih sempena perayaan Deepavali.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang turut hadir dalam program berkenaan semalam berkata, walaupun dalam keadaan sukar, sedikit tetap dihulur bagi menggembirakan mereka yang meraikan perayaan Deepavali.

“Ini juga adalah salah satu cara untuk UMNO dan MIC bergerak seiring mengeratkan hubungan dan kerjasama,” ujar beliau.

Sementara itu, Yang Dipertua Badan tersebut, Datin Sohada Ramli berkata, sumbangan yang diberikan adalah satu tradisi yang diadakan setiap tahun.

“Walaupun sukar tapi kita tetap buat juga. Banyak atau sedikit bukan ukurannya tetapi keikhlasan itu yang penting. Kita tetap berusaha membantu mereka yang memerlukan dalam musim perayaan ini,” jelas beliau.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Ketua Bahagian MIC Hulu Selangor K. Balasundaram. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.