Belanjawan 2020 Dikhuatiri Gagal Galak Pertumbuhan Ekonomi Mapan

ALOR SETAR, 18 Okt – Dalam situasi ekonomi yang dijangka sukar dan mencabar, rakyat mengharapkan belanjawan negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi supaya hasil negara dapat dikecapi oleh semua lapisan rakyat.

Namun Belanjawan 2020 yang dibentang baru-baru ini dikhuatiri gagal menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mapan, kata bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Othman Aziz.

“’Corporate tax’ Malaysia masih kekal 24 peratus, sedangkan Vietnam 17 peratus, Singapura juga 17 peratus, manakala Indonesia sudah ke arah 17 peratus. Trump semasa mahu membawa pulang pelabur-pelabur industri ke US, beliau menurunkan ‘corporate tax’ mendadak daripada 35 peratus turun sampai 21 peratus”, katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, berkata demikian pada sesi ‘Bicara Tokoh’ mengulas ‘Belanjawan 2020, Bajet Yang Tiada Kesan Positif Terhadap Rakyat’ anjuran UMNO Kedah, pada Rabu malam. Program tersebut dihoskan Noran Zamani Jamaluddin.

Tambah beliau lagi cukai korporat ini jika dilihat kembali ianya adalah suatu bentuk insentif kepada pemain industri, bagi tujuan untuk menarik mereka datang melabur.

“Jika malaysia masih kekal 24 peratus… sedangkan negara jiran menawarkan cukai yang cukup rendah 17 peratus, Malaysia akan menjadi destinasi pelaburan yang kurang menarik,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, kerajaan seharusnya sedar bahawa kos buruh adalah mahal di Malaysia berbanding Vietnam, maka kerajaan harus fikirkan inisiatif untuk kekal kompetitif di rantau ini.

Tambah beliau, sektor swasta dikhuatiri tidak akan menjadi ‘engine of growth’ seperti yang dihajatkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.