Jangan Biarkan Agenda Liberal LGBT Semakin Rakus

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Pemuda UMNO Negeri Kelantan mengingatkan Ketua Juri Debat Piala Tun Razak, Mohd Aidil Ali dan Iyad Zakiy bahawa perkara yang melibatkan penghayatan Islam tidak boleh dilihat dari sudut logik akal seperti teori Hipotetikal mereka.

Tegas Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, ini kerana agama Islam dipandu oleh wahyu Allah SWT dalam membentuk norma kehidupan kepada manusia.

“Isu yang berlaku ini juga membuka mata kita semua bahawa agenda Liberalisme LGBT semakin rakus dilaksanakan dan disebarkan melalui program-program akademik sebegini.

“Kami yakin bahawa Dap dan NGO Pro Liberal ini adalah dalang utama di sebalik agenda ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Noor Hariri berkata demikian mengulas mengenai kes Tajuk Debat Piala Tun Razak yang begitu bebas, memalukan dan tidak masuk akal serta di dalam masa yang sama negara belum pun reda ketidakpuasan hati rakyat terhadap Bajet 2020 kerajaan Pakatan Harapan (PH) acuan Dap yang bersifat sebagai tin kosong dan berat sebelah.

Debat Piala Tun Razak anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dibuat di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) telah dicemari dengan Tajuk ‘Keharusan Amalan Homoseksual dan Keperluan Menulis Semula Al-Quran’ yang telah disediakan oleh ketua juri.

Ulasnya lagi, jelas sekali ketua juri tidak mematuhi prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh penganjur di mana jajuk tersebut jelas bertentangan dengan Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan yang menghalang penyebaran agenda Liberalisme kepada rakyatnya.

Pihaknya juga tambah Noor Hariri berpendapat bahawa ketua juri tersebut menjadi mangsa pujukan daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk menyediakan tajuk debat yang amat memalukan umat Islam.

“Mereka dengan jelas mengikut skrip amalan Dap apabila mengamalkan budaya ‘sengaja membuat salah- mudah meminta maaf’ dengan niat sengaja menghuru-harakan dan menghasut rakyat dalam memainkan sentimen keagamaan.

“Justeru itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan merumuskan kes ini sebagai satu pelanggaran amanah (breach of trust) daripada ketua juri yang sepatutnya jelas dan faham akan SOP yang telah diberikan oleh pihak KPM dan SDAR.

“Perbuatan ketua juri ini dilihat memang sengaja menimbulkan provokasi sentimen agama dan amatlah tidak sesuai dengan acuan budaya di Malaysia ini,” ujar Noor Hariri yang juga bekas pelajar SDAR itu lagi.

Seterusnya kata Noor Hariri, Pemuda UMNO ingin memberi peluang kepada kedua-dua ketua juri debat berkenaan untuk mengaku kesalahan yang dibuatnya dengan ikhlas, segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

“Ini amat penting bagi membersihkan maruah Islam dan juga nama KPM dan SDAR di mata rakyat.

“Kami tahu, anda telah dipergunakan oleh pihak lain untuk kepentingan mereka,” ujarnya lagi.

Justeru itu katanya, Pemuda UMNO Negeri Kelantan mendesak KPM melakukan siasatan yang telus terhadap perkara tersebut.

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang agenda liberal songsang LGBT yang cuba disebarkan oleh PH di sekolah dan universiti, apatah lagi untuk menyokong pemimpin yang terpalit isu luar tabi’e untuk menerajui negara Malaysia,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.