PRK Tanjung Piai: BN Akan Adakan Mesyuarat Dalam Masa ‘Terdekat’

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat dalam ‘masa terdekat’ bagi membincangkan calon sesuai untuk pilihan raya kecil (PRK) parlimen Tanjung Piai, pada 16 Nov ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua presiden parti komponen BN akan terlibat dalam mesyuarat rasmi itu nanti.

“Kita (BN) ikut jadual yang ditentukan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan kita juga akan mengadakan mesyuarat rasmi dengan semua presiden-presiden parti komponen BN. Kita telah meletakkan tarikh dan kita akan beritahu bila tarikh berkenaan.

“Dalam waktu paling terdekat (tarikh mesyuarat itu),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Khamis lepas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata kepimpinan BN dalam proses menyenarai pendek senarai calon dari parti-parti komponen.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept, akibat komplikasi jantung, dan SPR telah menetapkan 2 Nov sebagai hari penamaan calon dan 16 Nov sebagai hari mengundi. bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.