Tindakan Wong Yan Ke Tiada Tatasusila, Mesti Dikecam… UM Dalam Krisis Kewibawaan

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan graduan kejuruteraan, Wong Yan Ke semasa Majlis Konvokesyen Universiti Malaya (UM) semalam adalah tindakan yang tidak mempunyai tatasusila dan mesti dikecam.

Tegas bekas Menteri Pengajian Tinggi itu, ia sangat bertentangan dengan nilai, adab dan kesopanan masyarakat timur.

“Apa jua protes yang ingin dizahirkan terhadap Naib Canselor mestilah dipandu dengan nilai dan tatasusila yang mencerminkan keperibadian dan pendidikan beliau.

“Menurut biar berakal, menentang biar beradab,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Semalam, tular video Wong melaungkan slogan menolak kepimpinan Dr Abdul Rahim Hashim, Naib Canselor UM selepas menerima skrol ijazahnya berhubung ucapan Dr Abdul Rahim di Kongres Maruah Melayu awal bulan lalu.

Wong yang juga Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang dilihat pro Dap pernah mencetuskan kekecohan ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Restoran Amjal, berhampiran pusat pengajian tersebut.

Mengulas lanjut. Khaled juga berkata kebimbangan yang disuarakan sebelum ini mengenai penganjuran Kongres Maruah Melayu oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terbukti benar.

“Bahawa UM dan IPTA yang bersekutu dengannya, dengan menganjurkan kongres tersebut, akan menjerumuskan wibawa universiti ke tahap yang sukar dipertahankan.

“Tindakan UM telah mengundang protes, bantahan dan cemuhan yang telah merencatkan nama baik UM.

“Dan ia akan terus menghantui UM jika tiada usaha pencerahan dilakukan segera,” tambahnya.

Justeru itu katanya sebagai alumni UM, Khaled menyeru agar kepimpinan tertinggi universiti tampil dan meyakinkan negara ini bahawa misi nasional UM akan diperteguhkan lagi natijah dari episod yang sangat memalukan ini.

“UM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi nasional yang bebas, berpendirian dan teguh dengan tradisi intelektualnya mesti menjadi jantung hati Malaysia selamanya,” jelasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.