Timbalan Menteri PH Banyak Auta Dari Fakta, Jawapan Tak Profesional – Wee

KUALA LUMPUR 15 Okt – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong melahirkan rasa terkilan dengan jawapan diberikan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang bukannya berdasarkan fakta sebaliknya banyak auta dalam Sidang Parlimen hari ini.

Jelas beliau, Teo Nie Ching sebenarnya tidak faham apa yang dinyatakan dan tidak berdasarkan fakta.

“Kita kena berdasarkan fakta dan bukannya auta. Saya nampak banyak perselisihan dan tidak konsisten jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan itu.

“Jawapan yang tidak profesional dan bercanggah dengan jawapan yang telah diberikan pada 3 Jun lalu. Saya sudah jangkakan jawapannya dan dia tidak menjawab dengan serius.

“Apa yang dikatakan oleh Teo Nie Ching adalah tidak masuk akal, beliau meludah ke langit dan akhirnya kena muka sendiri,” katanya kepada media di Parlimen, di sini.

Kata beliau, sepatutnya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menjawab kerana dia yang menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dan setiap keputusan dari Jemaah Menteri harus diikuti.

“Saya sedih… kenapa tidak patuhi keputusan yang telah di putuskan oleh kabinet bertarikh 24 April. Bukankah pengumuman telah dibuat Dr Maszlee?

“15 buah Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia seluruh negara mampu menempatkan sebanyak 25,000 pelajar walau bagaimanapun bagi sesi 2019/2020 jumlah tempat di program Matrikulasi KPM telah ditambah kepada 40,000 tempat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah pada 24 April 2019.

“Hari ini jawapan yang menakjubkan berdasarkan pecahan kaum bagi sesi 2019 iaitu 22,655 orang pelajar Bumiputera, 1,774 orang pelajar kaum Cina, India seramai 1,212 dan 278 daripada kaum-kaum lain. Saya tanya soalan di Parlimen tetapi dia jawab lain.”

Bidasnya, apa yang diperkatakan oleh PH sebelum ini tidak selari dengan penjelasan PH dalam Parlimen

“Dulu mereka (PH) cakap lain tapi sekarang lain…. Adakah itu satu perkara yang tidak serius?” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.