Penyucian, Pengukuhan, Penyatuan Formula Paling Penting UMNO – Reezal


PERMATANG PAUH, 15 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata konvensyen UMNO peringkat negeri-negeri yang sedang berlangsung sekarang ini adalah bagi menyimpul kekuatan parti untuk kembali kukuh demi perjuangan.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, berdasarkan kepada Konvensyen UMNO Negeri Pulau Pinang yang berlangsung Ahad lalu, terdapat tiga fasa perjalanan UMNO yang diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pasca 9 Mei 2018.

“Setelah setahun setengah UMNO sudah memulakan rentak yang lebih terarah dan apa yang ditekankan oleh Presiden UMNO adalah tiga fasa yang dilalui iaitu fasa penyucian, pengukuhan dan penyatuan.

“Yang lebih penting fasa pengukuhan dalaman parti adalah pengukuhan dalam parti dengan organisasi dan pertubuhan-pertubuhan seperti parti PAS dan lain-lain,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya lagi, fasa penyatuan tidak kurang penting kerana ia membawa kepada keseluruhan, malahan keyakinan rakyat semakin menampakkan lebih terarah kepada UMNO dan PAS.

“Penyatuan dan pengukuhan ini adalah formula yang paling penting untuk UMNO terus memberikan keyakinan secara berterusan kepada rakyat; untuk UMNO kembali sebagai teraju dalam tampuk pemerintahan sama ada diperingkat kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.

“Terdapat tanda-tanda bukan sahaja diperingkat Persekutuan, malah diperingkat negeri juga akan berlaku peristiwa-peristiwa yang memungkinkan berlakunya pertukaran kerajaan.

“Bukan sahaja rakyat tertipu disebabkan oleh janji-janji yang tidak ditunai secara sengaja, tapi lebih dari itu adalah ketidakupayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghasilkan naskah belanjawan yang boleh memberikan keyakinan kepada rakyat akan terbela melalui Belanjawan 2020.”

Ini dapat dilihat dalam siri perbahasan di Parlimen apabila isu-isu yang dibangkitkan oleh PH menampakkan kegagalannya, ujarnya.

“Saya yakin dengan suasana politik yang semakin hari semakin memihak kepada kita akan membawa seribu rahmat kepada umat Islam, Melayu dan lebih-lebih lagi kepada rakyat Malaysia untuk melihat negara dapat dikembalikan kepada pihak yang mampu menerajui kepimpinan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.