Perpaduan Melayu: Benarkah Tun Mahathir Serius Bela Bangsa? – Bung Mokhtar

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pengerusi  Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berpandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak benar-benar serius dalam memperkatakan soal perpaduan Melayu apabila memandang negatif apa yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut melihat Muafakat Nasional tidak meminggirkan mana-mana kaum malah tidak meminggirkan mana-mana agama sekalipun di negara ini.

“Kenyataan Timbalan Presiden UMNO itu… kalau betul-betul serius mahu meletakkan perpaduan Melayu dan ummah ke satu landasan yang baik maka ianya adalah cadangan yang baik. Saya lihat ‘respond’ daripada Tun Dr Mahathir amat negatif.

“Dan sebenarnya UMNO pun tidak mengharapkan ianya untuk menyertai gagasan kerajaan baru, tetapi kita melihat kepada tuntutan di mana selepas kita mengadakan penyatuan ummah antara PAS dan UMNO dan seterusnya Kongres Maruah Melayu itu… jadi kalau betul-betul mahu serius kena bincang secara serius bagaimana mahu menguruskannya,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya berkata jangan sekadar hanya bercakap di atas pentas namun tidak ada apa-apa yang dilakukan.

Mohamad menerusi Facebooknya beberapa hari lalu selepas Kongres Maruah Melayu berkata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir boleh menubuhkan sebuah kerajaan baharu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), PAS serta rakan dari Sabah dan Sarawak sekiranya Ahli Parlimen Langkawi itu ikhlas mahukan kedudukan Melayu dan Islam dimartabatkan.

Namun begitu, kata Mohamad UMNO dan PAS harus diberi peranan yang signifikan dalam memulihkan negara ini dan bukan sekadar menjadi penumpang sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.

Rentetan itu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilapor menolak pelawaan Mohamad Hasan untuk membentuk kerajaan baru bersama UMNO dan PAS.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.