Dap Parti Pengganas Jika Berterusan Mendokong LTTE – Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pemuda UMNO menimbulkan persoalan mengapa Dap dan pimpinannya bersungguh-sungguh mempertahankan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bidas Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, malah Dap mempertikaikan undang-undang dan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan tugas dan melaksanakan prinsip ‘Rule Of Law’.

“Jika Dap berterusan dengan sikap seperti ini dan tidak menjarakkan parti mereka daripada individu-individu termasuk kepimpinan parti yang dikaitkan dengan LTTE, maka sedikit demi sedikit akan membenarkan persepsi yang sedang terbentuk bahawa Dap adalah parti pengganas,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Ulasnya lagi, dunia melabelkan LTTE sebagai pengganas, sebagaimana ISIS atau DAESH dilabelkan kumpulan pengganas atau terroris.

“Di Malaysia tidak pernah parti politik Melayu-Islam sama ada UMNO atau PAS mempertahankan ISIS atau DAESH, bahkan menyatakan dengan tegas ISIS atau DAESH sebagai kumpulan yang tidak sesekali mewakili ajaran Islam,” katanya lagi.

Sehingga semalam, pihak polis telah menahan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Dap yang dipercayai terlibat dengan LTTE mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

ADUN Dap yang ditahan untuk siasatan itu adalah Gunasekaren Palasamy, wakil rakyat Seremban Jaya yang merupakan Timbalan Pengerusi Dap Negeri Sembilan manakala seorang lagi EXCO Kerajaan Negeri Melaka dan ADUN Gadek, Saminathan Ganesan, juga Setiausaha Organisasi Dap Melaka dan Ketua Dapsy Melaka.

Beberapa pemimpin Dap seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, P Ramasamy, M Kulasegaran dan Charles Santiago mempertikaikan tindakan PDRM tersebut hingga ada yang berkata ia satu tindakan politik. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.