“Jangan Jolok Durian Muda, ‘Mangkor’… Tunggu Gugur Sendiri” – Saarani

IPOH, 13 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata suasana pergolakan dalaman kerajaan negeri Perak bertambah teruk disebabkan ketidakpersefahaman antara pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) menerajui negeri itu.

Jelas beliau, melihat keadaan sedemikian berkemungkinan kerajaan negeri Perak bila-bila masa akan bertukar dengan sendirinya akibat tangan-tangan mereka sendiri.

“Jangan jolok durian muda, ‘mangkor’ (loghat perak – mentah) …tunggu durian masak dan akan gugur dengan sendirinya.

“Kami di Perak ini telah menggelegak dengan suasana sekarang. Fokus utama adalah menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, dan saya yakin dengan semangat moral yang diberikan ini akan menyemarakkan lagi,” katanya dalam Konvensyen UMNO Perak di Bangunan UMNO Perak, Sabtu, di sini.

Saarani, yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendedahkan bahawa terdapat lapan orang ketua-ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sentiasa menyanggah keputusan pentadbiran negeri manakala Parti Amanah Negara (Pan) terpaksa mengadakan mesyuarat agungnya walaupun bilangan ahli amat berkurangan.

Ujarnya lagi, sudah terbuka di masyarakat umum Pengerusi PKR negeri telah melakukan serangan peribadi terhadap pentadbiran kerajaan Perak terutama Menteri Besar dan begitu juga dengan pertelingkahan yang dilakukan oleh Dap kepada pentadbiran negeri.

“Kita harap kali ini kita buktikan kepada dunia dan mereka (PH) sedang kucar-kacir, UMNO, PAS, komponen BN dan ‘Friends of BN’ tetap bersatu dan insya-Allah akan menentukan kejayaan kita,” ujar ADUN Kota Tampan itu lagi.

Saarani juga berkata UMNO negeri pada dasarnya telah merancang satu lagi konvensyen, iaitu Konvensyen Penyatuan Ummah pada 2 November depan di Bangunan UMNO Bagan Datuk tetapi ditunda kerana sama tarikh dengan hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Dalam perkembangan yang berkaitan Saarani berkata, UMNO negeri telah turun ke semua kawasan dalam program aspirasi akar umbi sejak tahun lalu.

Jelasnya juga, hasil dari pendapat akar umbi  UMNO Perak telah mengadakan ‘retreat’ pada Februari lalu serta beberapa gerak kerja.

“Berasaskan pada ‘retreat’ itu, UMNO Perak telah mengorak langkah termasuk menubuhkan jabatan pilihan raya.

“Kita dah jumpa pegawai-pegawai dan ahli-ahli jawatankuasa empat peringkat. Selain dengan itu kita mengemukakan hasil pendapatan ‘post mortem’ PRU-14 dan kita meminta akar umbi memberi penjelasan.

“Kita sedang bergerak dengan rancak, ceramah UMNO dan PAS dalam program penyatuan ummah di setiap malam hujung minggu di seluruh pelosok negeri Perak,” tegasnya lagi.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.