Bajet 2020 Berat Sebelah – Mat Nadzari

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata tiada yang menarik belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Orang Melayu dan Bumiputera yang merupakan majoriti tidak dilayan seadilnya apabila angka-angka yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Dap itu sangat dengan jelas berat sebelah dan kelompok majoriti di negara ini dipandang sebelah mata, jelas beliau.

Tambahnya, Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada hari Jumaat lalu menyaksikan sekali lagi ketidakmampuan kerajaan dalam melaksana agenda rakyat yang banyak ditabur dalam manifesto pilihan raya mereka sebelum ini.

“Seharusnya satu kaji selidik dibuat untuk menilai kembali belanjawan tahun lepas adakah ia sudah dilaksana atau sekadar kata-kata manis untuk kita lebih berhati-hati dalam memperkatakan mengenai belanjawan tahun hadapan ini.

“Janji penghapusan tol yang rata-rata didambakan mereka yang mengundi Pakatan Harapan (PH) juga nampaknya antara janji yang tinggal janji termasuklah bayaran PTPTN yang sebelum ini digunakan sebagai senjata menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha membeli jiwa golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, hari ini.

Katanya, beberapa peruntukan untuk segmen Bumiputera termasuklah yang berkaitan dengan pendidikan dan pemerkasaan ekonomi dilihat sekadar ‘melepaskan batok di tangga’ apabila hanya bermain dengan angka tetapi jika diselidiki nyata ia amat berat sebelah.

Tambah Mat Nadzari yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor kini jelas kerajaan PH masih gagal untuk melaksanakan apa yang dikata dan hanya bijak bermain dengan angka.

“Soal kemampuan pemilikan rumah oleh warga tempatan, kos sara hidup, pengenalan cukai baharu, gaji minima dan bantuan sara hidup terus menghantui rakyat hari ini.

“Tindakan menurunkan harga rumah yang boleh dibeli oleh warga negara asing kepada hanya RM600,000 berbanding RM1,000,000 sebelum ini juga menimbulkan perdebatan umum kerana ia membuka ruang pemilikan harta di negara kita secara semberono oleh orang luar,” bidasnya lagi.

Soalnya juga, apakah resolusi Kongres Maruah Melayu yang telah berlangsung tidak mampu berbuat apa-apa apabila Belanjawan 2020 ini menceritakan sebaliknya.

Katanya juga, BN Selangor bersama PAS atas platform Muafakat Nasional akan turun padang untuk mendapatkan maklum balas rakyat selain menjelaskan mengenai belanjawan tersebut yang ramai tidak menikmatinya serta tertipu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.