Bajet 2020: Apa Ada Untuk Sabah?

SECARA amnya, Bajet 2020 yang dibentangkan menyaksikan kebanyakan peruntukan untuk negeri Sabah yang dipelopori oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini diteruskan.

Walaubagaimanapun terdapat kekurangan daripada segi jumlah peruntukan bagi beberapa program dan dasar penting untuk mengimbuhkan impak terus kepada rakyat Sabah.

Tidak ada yang baharu apabila Menteri Kewangan mengumumkan Sabah (dan Sarawak) terus menjadi antara penerima tertinggi pemberian Kerajaan Persekutuan dan juga perbelanjaan pembangunan setiap tahun, kerana ini adalah amalan Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Saya mengalu-alukan penerusan dasar mengutamakan pembangunan Sabah dan Sarawak selaras dengan sumbangan dua negeri ini kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui sumbangan minyak dan gas yang digali dan diekstrak di sini.

Saya juga menyambut baik peningkatan sekali ganda Pemberian Khas Tahunan yang tidak pernah disemak sejak tahun 1969. Walaupun jumlahnya hanya RM53.4 juta – kurang 2% daripada keseluruhan bajet tahunan Sabah yang melebihi RM4 bilion sejak 2017.

Walaubagaimanapun, Kerajaan PH tidak boleh mendabik dada seolah-olah Sabah dan Sarawak selama ini diabaikan dan tidak diberi perhatian oleh Kerajaan BN.

Ratusan juta ringgit yang diperuntukkan untuk program bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar dan pembinaan jalan luar bandar di Sabah itu juga adalah susulan daripada program yang sudah sekian lama dilaksanakan oleh Kerajaan BN.

Lebih baik sekiranya Kerajaan PH meningkatkan peruntukan atau paling tidak mengekalkan jumlah peruntukan kepada beberapa item perbelanjaan tertentu contohnya:

i) Peruntukan untuk membaiki sekolah-sekolah daif yang dikurangkan kepada RM783 juta sahaja untuk seluruh Malaysia. Sebelum ini di bawah Kerajaan BN, sebanyak RM2.5 bilion telah diperuntukkan, di mana Sabah dan Sarawak masing-masing menerima RM1 bilion untuk membaikpulih dan menaiktaraf sekolah-sekolah daif;

ii) Peruntukan bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak yang diturunkan daripada RM1 bilion kepada RM250 juta sahaja;

iii) Pengurangan peruntukan bagi Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan kepada RM20 juta berbanding RM80 juta yang diperuntukkan Kerajaan BN sebelum ini.

Lebih mengecewakan adalah apabila tiada langsung soal royalti minyak dan gas 20% disebut di dalam ucapan bajet ini sedangkan itulah janji utama Pakatan Harapan, iaitu Janji 3 di dalam manifesto atau Buku Harapan:
“Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil”.

Jika royalti petroleum ditingkatkan kepada 10% sahaja pun, Sabah akan menerima penambahan hasil sebanyak RM1.6 bilion untuk dibelanjakan.

Jumlah ini kurang 10% daripada RM24 bilion jumlah dividen Petronas yang dianggarkan bakal diterima oleh Kerajaan Persekutuan tahun hadapan.

Itu tidak termasuk hasil-hasil petroleum yang lain yang seperti cukai pendapatan petroleum (PITA), duti eksport ke atas minyak mentah dan produk petroleum dan juga royalti kepada Kerajaan Persekutuan.

Tetapi begitu mudah Ketua Menteri Sabah berpuas hati dengan Bajet 2020, sedangkan bulan lepas beliau berharap royalti petroleum untuk Sabah akan ditingkatkan.

Alasan bebanan hutang negara yang tinggi tidak boleh diterima pakai kerana pada masa yang sama Kerajaan PH terus-terusan menambah hutang dan menjual aset-aset strategik negara.

Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan
Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia