PH Terus Pinggirkan Petani, Pesawah… Tiada Hala Tuju Jaga Kebajikan Rakyat – Othman

JERLUN, 12 Okt – Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Othman Aziz melahirkan rasa kecewa apabila industri padi dan beras juga para pesawah dipinggirkan dalam Belanjawan 2020.

Jelas beliau yang juga merupakan bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), belanjawan yang dibentangkan semalam jelas membuktikan kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) langsung tidak mempedulikan keluh-kesah para pesawah yang terbeban dengan kos sara hidup kini.

“Masa Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu, pelbagai inisiatif dan bantuan sara hidup telah diberi kepada pesawah untuk membantu mereka menampung saraan hidup sebelum hasil tuaian.

“Dalam Belanjawan 2020, kerajaan telah memotong peruntukan industri padi dan beras iaitu daripada RM69.2 juta yang dibentangkan dalam Bajet 2019 kepada RM66.1 juta untuk Bajet kali ini.

“Manakala peruntukan bekalan makanan juga telah dipotong dari RM1.393 billion pada Bajet 2019 kepada RM1.314 billion untuk Bajet 2020,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Othman, keseluruhan Bajet Pertanian 2020 juga dipotong daripada RM194.1 juta pada Bajet 2019 kepada RM180 juta dalam Bajet 2020.

“Lebih menyedihkan, tiadapun ucapan dalam Bajet 2020 mengenai bantuan saraan hidup pesawah seperti yang diminta oleh para pesawah.

“Lain – lain insentif padi juga tidak diumumkan, yang ada hanya perkara biasa berkaitan subsisdi padi yang setara dan subsidi benih yang samar,”tegas beliau .

Justeru, Othman melahirkan kebimbangan akan nasib pesawah dengan tiada peruntukan dan bantuan khas kepada pesawah kerana mereka akan terus terbeban dengan kenaikan inflasi yang dijangka tahun depan apabila harga petrol akan mengikut harga pasaran dunia.

“Kerajaan sekarang ini dilihat langsung tidak memikirkan jangkaan yang akan berlaku dalam situasi kelembapan ekonomi negara yang akan menjejaskan kos kehidupan rakyat.

“Bagi saya, Bajet 2020 tidak menampakkan perancangan dan hala tuju negara untuk menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya terutama golongan petani,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.