Tiada Bajet Alternatif, Pembangkang Fokus ‘Budget Respons’ – Khairy

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Jawatankuasa Portfolio (JKP) Kewangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata BN pada tahun ini tidak akan mengeluarkan belanjawan alternatif sebaliknya akan fokus dalam memberi respons (budget response) kepada belanjawan 2020 yang akan dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Amalan ‘budget response’ atau ‘opposition reply’ seperti mana yang dilakukan di negara berparlimen lain akan memberi fokus kepada kritikan membina serta penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan semak dan imbang dalam amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

“Proses ini akan dijalankan oleh semua Ahli Parlimen BN mengikut kluster yang telah diwujudkan sebelum ini menerusi perbahasan yang akan bermula pada minggu hadapan,” ujar Ahli Parlimen Rembau itu dalam satu catatan di Facebook miliknya.

Tahun lepas, BN membentangkan bajet alternatif dengan tema ‘Inisiatif Ekonomi Rakyat’ yang menyentuh tiga teras seperti merancakkan pembangunan, meningkat pengagihan untuk dinikmati semua rakyat dan kalis masa hadapan.

Petang nanti, dijadualkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Dap akan membentangkan Bajet 2020, bajet kedua bagi kerajaan PH di Dewan Rakyat.

Tahun lalu, PH dengan bangga mengatakan Bajet 2019 dengan tema ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik dan Rakyat Sejahtera’ merupakan bajet paling besar dalam sejarah negara, dengan memperuntukkan sebanyak RM314.5 bilion (RM259.8 bilion – perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion – perbelanjaan pembangun¬an, tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion).

Walaupun besar, tetapi hakikatnya pelbagai bantuan untuk rakyat dipotong dan dimansuhkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.