Subsidi Petrol: Terkejut, Marah, Terhina… PH Gagal Bela Rakyat Sabah

KUALA LUMPUR 11 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Raime Unggi menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal membela rakyat Sabah termasuk hak untuk mendapatkan harga minyak yang lebih murah sama ada petrol mahupun diesel.

Beliau merasa hairan bagaimana PH boleh melaksanakan dasar demikian sedangkan Sabah adalah salah satu negeri pengeluar minyak terbesar tetapi dikecualikan daripada mendapat subsidi petrol dengan alasan rakyat Sabah ramai menggunakan kenderaan minyak diesel.

“Terkejut, marah, merasa terhina dan tidak boleh diterima … itulah antara perasaan rakyat Sabah sekarang ini apabila mendengar pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Sabah tidak tersenarai untuk mendapat subsidi petrol.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang agak teruk, sewajarnya kerajaan PH mengembalikan royalti 20 peratus minyak kepada Sabah agar kami mempunyai dana untuk mentadbir negeri ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya, pelbagai alasan yang tidak kukuh dijelaskan oleh PH dan ini telah menimbulkan pelbagai persoalan, keraguan dan persepsi dengan dasar baru kerajaan.

“Adakah kerajaan PH merasakan rakyat Sabah golongan orang-orang kaya? Tidakkah kerajaan PH sedar bahawa Sabah adalah salah satu negeri terbesar yang mempunyai golongan B40?

“Jika minyak negara akan diapungkan bagaimana pula jika minyak itu turun di bawah paras RM2.00? Sudah pasti minyak di Sabah akan lebih mahal daripada Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Soalnya lagi, bagaimana pula jika sistem apungan harga minyak ini akan mengakibatkan harga barang di Malaysia naik? Kini datang lagi berita buruk bahawa Sabah tidak tersenarai untuk menerima subsidi.

“Kerajaan PH harus menghapuskan dasar kabotaj kepada Sabah kerana ia adalah penyebab utama harga barangan di Sabah lebih mahal daripada Semenanjung Malaysia.”

Menurutnya lagi, sudahlah dasar kabotaj yang menyebabkan harga barangan di Sabah tidak dimansuhkan sepenuhnya dan di umumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Seperti kita ketahui Sabah banyak mengimport barangan daripada Semenanjung Malaysia ,bukankah ia akan mengakibatkan barang yang masuk ke Sabah dari Semenanjung juga akan naik?” soalnya lagi.

Dilaporkan, baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata pemilik kenderaan di Malaysia Timur tidak terima program subsidi petrol untuk kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) kerana penggunaan lebih rendah berbanding Malaysia Barat.– UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.