LTTE: Blok Pembangkang Ucap Tahniah, Tidak Berkompromi Soal Keselamatan Negara

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Blok pembangkang hari ini mengucapkan tahniah atas kecekapan PDRM kerana berjaya membuat tangkapan terhadap kumpulan militan yang terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) termasuk dua daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dap.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri berkata isu berkenaan merupakan isu yang serius kerana ianya melibatkan isu keselamatan negara dan sepertimana yang diketahui LTTE telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas dan pertubuhan haram di Sri Lanka.

Jadi tegasnya adalah tidak wajar jika negara ini dijadikan ‘base’ untuk pergerakan kumpulan LTTE ini dan pihak pembangkang memandang serius perkara ini serta berharap pihak polis dapat meneruskan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita juga amat kesal apabila pihak Dap, iaitu  Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng membuat kenyataan mengatakan beliau mendapat jaminan daripada pihak polis bahawa tidak ada tangkapan lain selepas ini dan kita kira ini merupakan satu campur tangan politik dan ugutan kepada polis kerana ianya melibatkan seorang menteri.

“Saya harap pihak polis tidak rasa tertekan dan tidak rasa bimbang dengan kenyataan ini kerana saya percaya rakyat di belakang pihak polis untuk mengambil inisiatif menyelesaikan isu yang berkaitan LTTE ini. Pihak pembangkang akan terus menyokong pihak polis dalam memastikan isu keselamatan negara ini terjamin,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini. Turut bersama Ahli Parlimen daripada PAS, GPS dan juga BN.

Pada masa yang sama Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera turut melahirkan rasa kesal terhadap pihak yang cuba mengaitkan perjuangan LTTE itu dengan perjuangan rakyat Palestin yang menentang Israel dan juga Rohingya.

Tambahnya jika dilihat ‘ethnic cleansing’ di Myanmar yang menyebabkan langkah menyokong Rohingya bukannya sebab agama semata-mata tetapi kerana dari segi hak asasi sebagai manusia apabila Rohingya penduduknya dihalau keluar dan dianiayai.

“Perjuangan rakyat Palestin mereka memperjuangkan hak mereka kerana mereka dihalau oleh rejim zionis Israel daripada negara mereka, dan isu ini juga tidak meilbatkan isu agama semata-mata tetapi juga hak asasi manusia yang dinafikan hak mereka sebagai penduduk asal negara Palestin.

“Jadi kita harap pihak berkaitan tidak menyamakan gerakan pengganas ini dengan perjuangan rakyat Palestin dan sebagainya,” ujarnya.

Ismail turut berharap pihak Peguam Negara juga mengambil langkah sewajarnya setelah kertas siasatan lengkap dilakukan oleh pihak polis.

“Kita harap selepas pihak polis membuat siasatan iaitu selepas kertas siasatan disiapkan, dan diserahkan kepada Peguam Negara, Peguam Negara membuat keputusan yang adil dan tidak ‘bias’ dalam membuat keputusan kerana kita lihat dalam beberapa isu yang lepas pihak Peguam Negara nampaknya tidak berlaku adil dalam membuat keputusan.

“Saya harap Peguam Negara juga mengambil tindakan yang adil dan melihat kepada isu ini sebagai isu besar yang boleh menggugat keselamatan negara kita. Jika ada di dalam siasatan tersebut oleh pihak polis melibatkan pihak mempunyai jawatan tinggi di dalam kerajaan atau sesiapa sahaja yang terlibat isu berkaitan LTTE ini, saya harap pihak polis tanpa takut meneruskan tindakan dan siasatan. Kita akan terus menyokong,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.