Laksanakan Janji Belanjawan 2019, Baru Tabur Janji Baru – Dr. Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu melaksanakan janji yang dibuat dalam Belanjawan 2019 dahulu sebelum menabur janji yang baru.

Jelas beliau, sekiranya janji lama masih tidak tertunai, bagaimana rakyat mahu yakin janji yang baru akan ditunaikan.

“Laksanakan dulu janji dalam Belanjawan yang dulu… yang dulu pun banyak tak tunai sudah buat janji baru. Laksanakan yang dulu, baru orang yakin.

“Dari segi keselamatan pula juga tidak ada penambahbaikkan kecuali Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang ditolak anggota bawahan dan pegawai atas,“ katanya di lobi Parlimen hari ini.

Menulis di laman Facebook pula Zahid berkata, kerajaan harus sedar bahawa hutang luar yang mencapai angka RM1.17 trilion setakat Julai akan mendorong kepada defisit yang bakal menyaksikan kerajaan terus menjual aset negara dan menambah pinjaman luar untuk pembangunan.

“Ini bajet yang boleh meruntuhkan terus sistem ekonomi negara. Ia juga bertujuan memikat semula sokongan rakyat yang makin tiris kerana kegagalannya menunaikan janji manifestonya.

“Selain itu, mana keistimewaan untuk rakyat Malaysia, dulu warga asing hanya boleh beli hartanah RM1 juta ke atas. Sekarang PH kurangkan kepada RM600,000 sahaja. Bajet mengutamakan warga asing,” bidas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.