Belanjawan 2020: PH Perlu Wujudkan Tindakan Proaktif, Pragmatik

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mewujudkan satu tindakan yang proaktif dan pragmatik dalam pembentangan Bajet 2020 hari ini.

Katanya, adalah suatu tindakan yang proaktif dan pragmatik sekiranya dalam Bajet 2020 ini kerajaan berjaya mewujudkan apa yang disebut sebagai Dasar Pemisah (Exit Policy).

“Dalam usaha untuk memastikan golongan sasaran terutama B40 bukan sahaja mendapat bantuan wang tunai dan subsidi yang jika kita lihat semakin mengecil atau berkurangan jumlah nilainya di bawah Kerajaan PH berbanding Kerajaan BN, namun apa yang lebih penting ialah apakah usaha-usaha untuk menguruskan golongan B40 ini bagi memperolehi, mempelbagai dan seterusnya meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi laman facebook beliau, hari ini.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dasar Pemisah (Exit Policy) ini sepatutnya perlu ada dan mestilah dibentangkan di dalam belanjawan kali ini.

“Ia secara langsung menjadi penyelesaian jangka panjang dalam usaha untuk mengurangkan beban kos sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh golongan ini,” katanya.

Pada 4 petang hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dijadual membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat. Ia merupakan kali kedua beliau membentangkan belanjawan tahunan negara, sejak PH memerintah pada Mei 2018. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.