Utusan Suara Perjuangan, Pencetus Wacana Nasional

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Utusan Malaysia adalah institusi penting orang Melayu kerana telah memberikan suara dan menjadi nadi kepada perjuangan kemerdekaan, pengisian kemerdekaan dan pemodenan Malaysia, ujar Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, Utusan juga adalah pencetus pelbagai wacana nasional demi kelangsungan Malaysia.

“Apa yang berlaku hari ini adalah saat yang sangat mendukacitakan bangsa dan negara.

“Tetapi saya pasti semangat Utusan, yang disemai dan disemarakkan oleh, antaranya, Yusuf Ishak dan Rahim Kajai akan diteruskan oleh semua pekerja Utusan, walau di mana pun mereka berkhidmat selepas ini,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Hari ini, Utusan akan menutup operasinya.

Mohamad turut mengucapkan penghargaan kepada semua warga Utusan.

“Kepada semua warga Utusan, terima kasih yang tidak terhingga di atas sumbangan luar biasa anda kepada tanahair ini. Kalau segala jasa anda semua ingin disebut dan ingin dikenang, ke mana akan kami cari kata-kata.

“Insya-Allah, suatu hari nanti, akan kami jelmakan semula Utusan sebagai wadah nurani bangsa, Insya-Allah.

“Selamat tinggal suara bangsaku,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.