SPRM Mendahului Mahkamah Bertindak Unilateral Dan Berpilih… Jelas Diperalat, Jadi ‘Political Tool’

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata seharusnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunggu sehingga pihak mahkamah membuat keputusan yang muktamad tetapi sebaliknya mereka bertindak unilateral dengan memilih membuat tekanan dan intimidasi berbaur politik.

Bidasnya, tindakan berpilih sangat menjejaskan integriti SPRM itu sendiri.

“Difahamkan, kini menjadi satu pendekatan kepada SPRM untuk bertindak secara berpilih dan berbaur politik dengan motif membantu Pakatan Harapan (PH) dalam perang persepsi terhadap UMNO, PAS dan pembangkang yang lain.

“Dikatakan juga pendakwaan atas kes-kes yang sudah ditutup, yang samar, yang lemah kiranya ia melibatkan pemimpin pembangkang yang enggan melompat atau menyokong kepimpinan kerajaan sedang diatur,” katanya dalam satu catatan di Facebook miliknya.

Annuar berkata demikian ketika mengulas mengenai lebih dari 40 Bahagian-bahagian UMNO, sayap dan individu parti telah menerima notis tawaran kompaun dua setengah kali ganda jumlah terima yang disampaikan SPRM atas arahan Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya.

Dilaporkan, mereka terbabit diberi tempoh 14 hari untuk membuat bayaran kepada SPRM atas dasar SPRM yang berpendirian bahawa wang yang penama pernah terima daripada Presiden UMNO ketika itu Datuk Seri Najib Razak (DSNR) adalah wang milik 1MDB.

“Hal ini menimbulkan tanda tanya tentang integriti pihak badan penyiasat kerana bagaimana pihak yang menyiasat boleh mendahului mahkamah.

“Belum ada satu mahkamah pun yang memutuskan bahawa wang akaun DSNR itu wang 1MDB.

“Malah dalam perbicaraan yang sedang berjalan pun kita dengar pengakuan dan pengesahan bahawa wang dalam akaun tersebut datangnya antara lain dari Kementerian Kewangan Kerajaan Arab Saudi dan juga dari Sumbangan Putera Turki Raja Abdul Aziz,” jelasnya.

Tambah Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, terdapat juga maklumat yang mengatakan sejumlah besar dari dana dalam akaun itu dikembalikan kepada sumber asal.

“Jadi bagaimana mungkin dana yang UMNO Bahagian dan lain-lain terima dikatakan datang dari 1MDB.

“Malah sewaktu dana diterima sekitar 2012 dan 2013 istilah 1MDB jarang disebut dan tidak diketahui kewujudannya oleh penerima yang kebanyakannya memohon bantuan dari presiden parti,” katanya.

Justeru itu tegasnya, pendekatan SPRM telah meletakkan mereka ada imej yang paling rendah pada masa ini, di bawah PH.

“SPRM dilihat menjadi ‘political tool’ dan sedang diperalatkan.

“Ini pastinya menambah buruknya wibawa kerajaan PH itu sendiri,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.