Sama-sama Kembalikan Keamanan, Keharmonian Seperti Zaman BN – PAS Johor

TANJUNG PIAI, 10 Nov – Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin berkata MCA dan MIC menyambut baik agenda penyatuan ummah dan Muafakat Nasional yang dipelopori oleh UMNO dan PAS.

Menurutnya, dalam pertemuan antara PAS bersama MCA dan MIC sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu yakin kerjasama tersebut mampu mengembalikan suasana aman damai yang dikecapi oleh rakyat ketika pemerintahan BN dahulu.

Katanya lagi, kerisauan dan kebimbangan MCA dan MIC adalah terhadap kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan isu keharmonian antara kaum.

“Kedua-dua parti komponen BN menyatakan tiada masalah UMNO dan PAS bergabung. MCA dan MIC ingin mengembalikan suasana aman, damai sebagaimana pemerintahan BN sebelum ini.

“MCA dan MIC menyatakan kegelisahan terhadap pemerintahan PH yang menimbulkan ketegangan, rasa tidak senang dan aman, menimbulkan isu-isu yang sensitif, mempertikaikan kontrak sosial, kedaulatan Raja-Raja, hak istimewa orang Melayu dan sebagainya. Inilah yang menjadikan suasana keresahan,” katanya semasa ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telok Kerang,  Sabtu malam, di sini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Mohd Isam Mohd Isa, Bekas Naib Pengerusi Biro Buruh Dap, Amran Ahmad, Pengerusi PDM Telok Kerang, Asha’ari Karsan, Ketua-ketua Cawangan dan pengundi-pengundi di PDM Teluk Kerang.

Tambahnya lagi, kerjasama yang erat semakin di Tanjung Piai terserlah apabila Presiden PAS bersama Presiden UMNO, MCA dan Timbalan Presiden MIC telah hadir sepentas semasa Ceramah Perdana baru-baru ini.

PAS katanya juga telah menyatakan komitmen untuk membantu serta mengajak pengundi-pengundi Tanjung Piai supaya mengundi dan seterusnya memberikan kemenangan kepada calon BN iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.