PH Perlu Jawab, Sekarang Ini Kerajaan Nak Jual Aset Atau Nak Jual Negara?

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hari ini dilihat menjual aset negara secara berleluasa.

Soalnya, aset ini dijual dengan cara macam mana, kenapa diam-diam dijual, kenapa mesti dijual dan untuk apa dijual?

“Penjualan aset ini dibuat secara berleluasa. Mereka sedang jual aset… nak jual negarakah? Hotel yang sebegitu indah di Singapura dijual dengan harga 1.45 bilion secara runding terus.

“Ini tanah di Perlis, dijual 4.3 ekar… jual 30 sen sedangkan kalau bagi orang Perlis 50 sen pun orang Perlis beli,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam menyokong sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dalam sidang Parlimen hari ini.

“Saya minta tolonglah kepada menteri atau bakal perdana menteri sebelah sana selamatkanlah negara ini daripada penjualan aset cara gila-gila kemudian ambil duit keuntungan Petronas 82 bilion. Ke mana duit ini pergi?

“Siapa yang bercita-cita nak jadi Perdana Menteri mesti selamatkanlah negara ini, tapi kalau semua di sebelah sana tak layak lagi jadi Perdana Menteri maka serahlah kepada kami untuk kami urus lebih baik,” katanya.

Dalam kesempatan tersebut, beliau turut menegur Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang selalu mengaitkan dengan isu 1MDB.

“Pasal 1MDB, Jelutong ini tak berhenti bercakap tentang 1MDB hutang 31 bilion. OK, YB kalau betul hutang ini dari mencuri saya pun nak dipertimbangkan secara adil dan sekarang ini dah jual harta maka kena tolaklah… dah jual Bandar Malaysia 7.4 bilion jadi tolaklah.”

Dalam masa yang sama beliau menyorong RUU ini agar hal-hal berkaitan aktiviti-aktiviti jenayah kewangan tidak berleluasa.

“Wang haram lebih banyak beredar di pasaran berbanding dengan kutikan kerajaan maka sebab itu RUU ini perlu disokong.

“Wang ini beredar di pasaran kerana ada ‘pemain-pemain’ di sana, yang terlibat mengedarkan duit, dan paling penting ada pula peguam-peguam yang mempertahankan mereka, dan ada antara peguam-peguam ini ada pula di dalam dewan untuk membincangkan berkaitan isu-isu penggubahan wang haram pada hal mereka adalah orang yang terlibat mempertahankan aktiviti jenayah ini.

“Sebagai contoh hari ini dilaporkan seorang Exco telah ditangkap maka saya harap ia tidak melibatkan wang haram yang dihantar ke luar untuk membantu gerakan-gerakan yang tidak baik di luar negara,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.