LTTE: Terima Kasih PDRM, Berwibawa Laksana ‘Rule of Law’ – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pemuda UMNO mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengambil tindakan terhadap pemimpin yang terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kata Exconya, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris, PDRM juga wajar melakukan penyiasatan menyeluruh terhadap semua kumpulan penyokong LTTE termasuklah beberapa pemimpin tinggi Pakatan Harapan (PH) yang lain.

“Penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dap yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang disyaki terlibat dengan LTTE membuktikan kewibawaan pihak PDRM dalam melaksanakan “rule of law”.

“Sejak akhir ini, kumpulan penyokong LTTE secara terang-terangan melakukan pelbagai aktiviti melibatkan kumpulan pengganas ini dan seolah-olah menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi mereka,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Polis hari ini menahan tiga lelaki termasuk dua ADUN Dap dari Melaka dan Negeri Sembilan, dipercayai ada hubungan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka itu.

Mengulas lanjut, selain itu menurut Dr Najmil, video yang tular di laman sosial juga menunjukkan penglibatan pemimpin tinggi PH seperti P. Ramasamy iaitu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan M. Kulasegaran, Menteri Sumber Manusia dalam upacara LTTE.

“LTTE adalah kumpulan pengganas yang sama seperti Daesh dan kita tidak mahu negara kita dijadikan sebagai pusat operasi pengganas ini kerana ianya mengancam keselamatan negara.

“Aktiviti dan penglibatan pemimpin PH dalam kumpulan pengganas ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat dan akan memberi imej yang tidak baik terhadap negara jika perkara ini tidak diambil tindakan,” katanya lagi.

Hari ini, media arus perdana melaporkan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

ADUN Dap yang ditahan polis adalah Gunasekaren Palasamy, wakil rakyat Seremban Jaya yang merupakan Timbalan Pengerusi Dap Negeri Sembilan manakala seorang lagi EXCO Kerajaan Negeri Melaka dan ADUN Gadek, Saminathan Ganesan, juga Setiausaha Organisasi Dap Melaka dan Ketua Dapsy Melaka. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.