Lim Kit Siang Wajib Jawab 10 Bukti Pimpinan Dap-PH Sebenarnya Rasis Dan Pencetus Api Perkauman!


KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pemuda UMNO berharap pihak polis dan Peguam Negara agar bertindak tegas tanpa pilih kasih untuk membawa mereka yang mencetuskan api perkauman ke muka pengadilan malah setiap rakyat juga wajar menolak mereka yang berterusan membangkitkan kebencian antara kaum, demi menyelamatkan negara untuk terus kekal aman, stabil dan harmoni walaupun rakyatnya majmuk dengan kepelbagaian agama dan kaum.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata banyak bukti-bukti telah menyerlahkan sifat dan sikap perkauman pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang berterusan membangkitkan kebencian dan prejudis antara agama dan kaum.

“Saya meneliti kenyataan Lim Kit Siang dalam blognya yang turut dilaporkan dalam beberapa media massa tempatan yang menuduh saya penipu dan pencetus kebencian antara kaum. Namun tidak ada satu pun bukti yang dikemukakan beliau untuk mengesahkan dakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya hari ini.

Tegasnya, selaku Penasihat Dap, Lim Kit Siang seharusnya cermin muka partinya terlebih dahulu sebelum menuduh dan memfitnah orang lain sebagai pencetus kebencian antara kaum.

“Ada baiknya saya kemukakan sekali lagi kenyataan awal saya yang wajar mendapat jawapan tuntas daripada pemimpin terulung Dap Lim Kit Siang,” katanya yang turut menyertakan senarai tersebut:

10 BUKTI PIMPINAN DAP-PH PENCETUS API PERKAUMAN DAN RASIS

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius dakwaan kononnya pembangkang bertanggungjawab memainkan isu perkauman dan bersikap rasis sedangkan terlalu banyak bukti menunjukkan pimpinan DAP-PH yang banyak mencetuskan api kebencian, perkauman dan rasis!

Antara 10 BUKTI utama sikap dan kenyataan rasis dan cauvinis DAP-PH, termasuklah:

(1) Menteri Sumber Manusia DAP, YB M. Kulasegaran menuduh orang Melayu Pendatang dan mendakwa orang Tamil yang paling awal bermastautin di tanah ini. (21 Julai 2018)

(2) Exco DAP Kerajaan Negeri Selangor, YB Ganabatirau mendakwa serangan Kuil Sri Mariamman Seafield dirancang dan dilakukan oleh orang Melayu-Islam sehingga membangkitkan kemarahan penganut Hindu, lalu mencetuskan rusuhan dan menyebabkan kematian Allahyarham Adib. (26 November 2018)

(3) Kenyataan bersama Menteri-menteri PH India di Parlimen selepas tuduhan YB Ganabatirau, mengkritik dan menyalahkan pihak polis kerana lewat dan gagal mengawal keadaan serangan ke atas Kuil Sri Mariamman Seafield hakikatnya membakar api perkauman dan menambah kemarahan orang India sehingga dilaporkan berkumpul seramai 10,000 di Kuil Sri Marimman pada malam kedua mengamuk dan melakukan rusuhan sehingga berlakunya peristiwa kematian anggota bomba Arwah Adib. (26 November 2018)

(4) Menteri Kewangan DAP, YB Lim Guan Eng mendakwa Agenda Penyatuan Ummah di antara UMNO-PAS adalah pengisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu. (5 Mac 2019)

(5) Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat DAP, YB Ngar Kor Ming mendakwa jika UMNO-PAS berjaya berkerjasama dan membentuk kerajaan dalam PRU-15, maka gabungan ini akan membentuk Kerajaan Taliban seperti di Afghanistan. (8 Mac 2019)

(6) Pemimpin DAP, YB Chong Chien Jen bersetuju dan menyokong kenyataan YB Nga Kor Ming bahawa penyatuan UMNO dan PAS bakal membentuk Kerajaan Taliban sekiranya menang pilihanraya seterusnya telah mencetuskan perasaan takut, rasis dan prejudis dikalangan masyarakat bukan Islam terhadap orang Islam di negara ini. (9 Mac 2019)

(7) Adun Mengkibol DAP, YB Chew Chong Sin mengaitkan insiden pembunuhan tragik di sebuah masjid di Christchurch oleh ekstrimis kulit putih dengan penyatuan orang Melayu melalui kerjasama UMNO-PAS untuk menambahkan lagi perasaan perkauman dan prejudis agama di kalangan rakyat bukan Melayu dan Islam. (16 Mac 2019)

(8) Ahli Parlimen Kluang DAP, YB Wong Shu Qi menghina orang Melayu dan cuba membakar kebencian di kalangan orang Cina dengan mengaitkan tulisan Jawi dengan bahan-bahan pornografi dan lucah. (9 Ogos 2019)

(9) Menteri Kewangan DAP, YB Lim Guan Eng sekali lagi mencetuskan api kebencian dan perkauman dengan mendakwa Kerajaan UMNO dan PAS jika berjaya dibentuk akan mengambil hak-hak orang bukan Melayu di Malaysia. (19 Ogos 2019)

(10) Kenyataan rasis dan cauvinis Menteri Perpaduan Senator, P. Waytha Moorty yang mendakwa Malaysia bukanlah sebuah negara moderat progresif Islam seperti disangkakan pihak luar kerana kaum India telah didiskriminasi dalam pelbagai cara antaranya hak beragama serta pemusnahan kira-kira 10,000 kuil. Walaupun ini kenyataan lama, tetapi keangkuhan Waytha Moorthy untuk tidak mahu meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya kepada media luar negara adalah amat tidak bertanggungjawab dan menzahirkan sifat rasis pimpinan PH. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.