Ketua SPRM Buat ‘Magic’ – Zahida

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memberi tekanan terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang, bidas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Apa yang menghairankan kata Zahida, secara tiba-tiba Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya membuat ‘magic’ apabila ada nama bekas pemimpin UMNO digugurkan dari senarai.

“Janji PH (Pakatan Harapan) mahu jadi kerajaan yang adil telus, berintegriti tinggi serta tidak pilih bulu semuanya auta sahaja.

“Janji PH semua dibakulsampahkan. Jadi rakyat pun tak sabar nak buang PH dan tanam segera,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Zahida berkata demikian mengulas mengenai artikel Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berhubung pendakwaan berpilih yang diamalkan oleh Latheefa ke atasnya dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan tetapi tidak kepada bekas Ketua Puteri UMNO Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang telah melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Berikut merupakan artikel Shahrir yang disiarkan di Facebook miliknya.

Saya tidak mempunyai sumber kewangan lain kerana saya tidak terlibat dalam sebarang perniagaan. Oleh itu, kepada siapa lagi yang saya boleh meminta bantuan kewangan selain dari presiden parti saya. Inilah penjelasan saya secara konsisten.

Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Datuk Ahmad Maslan atau Mas Ermieyati. Mereka tentunya ada penjelasan tersendiri.

Namun apa yang menimbulkan persoalan, apabila Lateefah Koyah mengumumkan pada Isnin lepas mengenai 81 entiti dan individu yang telah ditawarkan untuk mengkompaun kes didakwa dibawah AMLA, hanya saya dan Datuk Ahmad Maslan yang termasuk dalam kumpulan 81 itu.

Secara ajaib, Mas Ermieyati telah tidak lagi disebut namanya. Pada Ogos 2015, nama kita bertiga disebut olih Sarawak Report. Pada 6hb Oktober, Lateefah Koyah gugurkan nama Mas Ermieyati. Tinggal sahajalah saya dan Ahmad Maslan.

Umum mengetahui Mas Ermieyati yang pertama melompat keluar dari UMNO masuk PPBM. Tapi mengapa pula Lateefah Koyah gadaikan integritinya untuk kecualikan seorang yang juga dilaporkan oleh Sarawak Report telah menerima sumbangan politik dari DS Najib.

Sudahlah Mas Ermieyati tidak ada integriti politik kerana menjadi katak politik. Kini Lateefah juga sama-sama mengadaikan integritinya dengan bertindak secara selektif terhadap kami yang tetap berpendirian politik kami bersama UMNO.

Dalam Malaysia Baru — Malaysia Bersih, yang berkuasa gunakan kuasa itu secara selektif terhadap mereka yang tetap dan teguh dalam prinsip politik.

Inilah harga maruah. Tetap terdedah kepada pendakwaan yang selektif oleh mereka yang tidak ada integriti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.