Bajet 2020 Guan Eng Dijangka Bersifat ‘Political Regime Budget’ – Pemuda UMNO Kelantan

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pemuda UMNO Negeri Kelantan memberi amaran kepada kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng jangan jadikan Bajet 2020 nanti bersifat ‘Political Regime Budget’ hanya kerana ingin memberi tekanan dan menghukum orang Melayu yang telah menolak Dap.

Menurut Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Nor, Pemuda UMNO juga mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengadakan ‘pre-council Budget 2020’ terlebih dahulu dengan Guan Eng bagi mengelakkan ketiadaan insentif kepada golongan terpenting ini.

“Inilah masanya Perdana Menteri ingin membuktikan kuasanya tidak tunduk kepada Dap dalam memperjuangkan maruah dan kepentingan Melayu.

“Pemuda UMNO Kelantan tidak menjangkakan apa-apa kelebihan terhadap Bajet 2020 ini jika dilihat pada kegagalan Bajet 2019 yang lepas yang langsung tiada ‘boom factor’ kepada orang Melayu Bumiputera sebagai kaum majoriti di negara ini.

“Ini kerana Guan Eng tahu 95% orang Melayu telah menolak Pakatan Harapan (PH) kerana mereka sedar dengan penipuan, kelicikan dan kerosakan yang dibuat oleh Dap,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Noor Hariri memberi reaksi berhubung esok, Jumaat, Bajet 2020 akan dibentangkan oleh Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Dap yang rasis dan cauvinis.

Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata bajet lalu telah membuktikan rakyat kelas bawahan di kampung-kampung tidak merasai pelbagai insentif menarik untuk membantu mereka yang bekerja sebagai pekebun getah, peneroka sawit, penanam sayur, petani padi dan nelayan kecil.

“Guan Eng semestinya akan sekali lagi menyempurnakan agenda Dap untuk menekan orang-orang Melayu dengan meminimumkan peruntukan untuk pembangunan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Kerana negeri ini dikuasai oleh pembangkang, walhal ketiga negeri ini menyumbang majoriti penduduk di Malaysia,” jelasnya.

Manakala bagi orang muda pula Noor Hariri berkata:

“Pemuda UMNO Kelantan juga menjangkakan insentif ‘gula-gula dan geli’ akan diberi kepada anak-anak muda berumur 18 ke 25 tahun bagi menarik kembali sokongan kepada PH akibat daripada kegagalan menunaikan janji penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Insentif seperti ini tidak lebih kepada memberi habuan untuk memancing undi dan bukannya kerana ingin meningkatkan kualiti modal insan kepada anak muda tersebut,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.