Al-Sultan Abdullah Titah Rakyat Hayati Prinsip Rukun Negara

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua rakyat agar menghayati prinsip Rukun Negara bagi pemangkin semangat patriotisme dalam masyarakat.

AL-Sultan Abdullah menegaskan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara merupakan panduan kepada perilaku rakyat Malaysia yang diasaskan daripada acuan budaya dan ajaran tempatan.

Baginda bertitah ia menekankan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan serta mengingatkan masyarakat agar sentiasa mensyukuri nikmat kurniaan Allah S.W.T

“Ia juga menuntut untuk sentiasa berlaku adil dalam mendaulatkan undang-undang, lebih penting lagi Rukun Negara memartabatkan kedudukan raja, negara dan Perlembagaan.

“Hakikatnya, raja merupakan raja kepada semua kaum tanpa mengira agama, bangsa, status sosial dan pegangan politik,” titah Seri Paduka dalam program Wacana Diraja Islam Agama Rahmah Raja Berpelembagaan dan Patriotisme di Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa peranan raja sebagai mekanisme penyatuan dan pencetus semangat patriotisme adalah sangat unik dan sentiasa relevan dalam demografi kepelbagaian di negara kita.

“Apabila negara berhadapan dengan isu-isi yang berkepentingan kepada rakyat, peranan institusi Raja-raja Melayu adalah amat besar dalam menzahirkan pandangan, menegur, melunakkan keadaan dan menawarkan pedoman.

“Justeru, raja adalah mahkota negara dan menjadi pelindung kepada rakyat jelata,” titah baginda.

Seri Paduka turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mensyukuri fitrah masyarakat majmuk yang diciptakan Tuhan Yang Maha Esa.

Titah baginda, rakyat tidak seharusnya mengadu domba dengan isu yang boleh membawa persengketaan dan permusuhan.

“Sebaliknya, berpeganglah kepada ajaran agama. Hayatilah prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan.

“Hormatilah keluhuran Perlembagaan yang menjadi asas kepada pembentukan negara yang kita cintai ini,” titah Seri Paduka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.