‘Sekejap Nampak Lelaki Sekejap Nampak Perempuan’, YB Hanipa Hina Kaum Wanita

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr. Noraini Ahmad melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin yang mengeluarkan ungkapan ‘sekejap nampak lelaki sekejap nampak perempuan’ ketika membahas Rang Undang-Undang Akta Antiberita Tidak Benar 2018 di Parlimen hari ini.

Jelas beliau, ungkapan yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Pengerang itu adalah sesuatu yang biadap, tidak sepatutnya diungkapkan dan ia seolah-olah menghina dan memperlekeh kaum wanita malah ia berunsur seksis.

“Walaupun beliau telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut namun ia bukan sesuatu yang mudah dilupakan bak kata pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur, telajak kata badan binasa’.

“Sebagai seorang pemimpin, beliau sepatutnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana beliau adalah contoh untuk rakyat,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Sidang Dewan Parlimen hari ini kecoh apabila Hanipa yang juga merupakan Ahli Parlimen Sepang menyindir Pengerang dengan kenyataan tersebut.

Ekoran daripada itu blok pembangkang bangun dan memohon Sepang menarik balik dan memohon maaf. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.