Penutupan Utusan, UMNO Gagal Bantu Kerana Kezaliman Kerajaan Hari Ini

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata apa yang berlaku terhadap Syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. adalah satu perkara yang menyedihkan bukan hanya kepada keluarga agensi berkenaan malah kepada pembaca keseluruhannya.

“Apa yang berlaku dan nasib menimpa pekerja Utusan satu yang amat sedih bukan hanya kepada keluarga mereka, tetapi juga orang ramai khususnya pembaca Utusan.

“Ini kerana akaun UMNO sendiri yang dulunya sering sebahagiannya membantu kewangan Utusan tidak dapat dilaksanakan lagi kerana akaun parti dibekukan.

“Dan ini adalah sebahagian kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan sekarang dan kita serahkan kepada pengurusan baru, pemilik saham yang baru untuk menentukan masa depan Utusan kerana UMNO tidak lagi memegang saham dalam Utusan,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau menyifatkan cadangan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung tawaran kepada Tun Dr Mahathir mengenai penubuhan kerajaan baru adalah bersifat cadangan peribadi.

“Cadangan timbalan presiden adalah cadangan peribadi dan ianya tidak diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Jadi ianya adalah sesuatu yang pada hemat saya harus tidak dianggap sebagai pendirian rasmi oleh parti,” ujarnya.- UMNO ONLINE