Lantikan Politik: Sampai Bila PH Nak Tepati Janji? Sekali Pun Tak Boleh Ke? – Pemuda MCA

KUALA LUMPUR, 9 Okt – “Sampai bila PH (Pakatan Harapan) baru nak menepati janji? Soal Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong.

“Untuk satu kali pun tak boleh ke? Tolonglah,” desak Nicole dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Nicole memberi reaksi demikian selepas melihat tindakan kerajaan PH berterusan memungkiri janji manifesto mereka sendiri yang dicatat di dalamnya tiada lagi lantikan politik dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jika memegang tampuk pemerintahan negara.

Baru-baru ini, PH melantik Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng sebagai pengerusi baharu Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi menggantikan Tan Sri Lee Lam Thye.

Untuk rekod, Janji 22 di dalam manifesto PH ada menyebut, ‘Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa’ dan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Seterusnya, Nicole mempersoalkan apa sudah jadi dengan janj-janji PH dahulu.

“Kan PH pernah berjanji untuk mengelakkan segala pelantikan politik? Mengapakah pelantikan seperti ini berlaku lagi?

“Dulu mereka kata – Jangan cemari institusi yang seharusnya bebas daripada pengaruh politik.

“Sekarang bagaimana? Semua jawatan penting pun pelantikan politik,” bidasnya.

Malah katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa rasa bersalah mempertahankan pula tindakan kerajaan PH membuat lantikan politik, terutamanya bagi jawatan penting dalam beberapa GLC dengan kata-kata:

“Kerajaan akan meneruskan dasar melantik mereka “yang banyak berjasa kepada parti” dan “memenangkan PH pada Pilihan Raya Umum”, berkebolehan serta berkelayakan.

“Inilah masalahnya, kita tidak patut bagi mana-mana jawatan kepada orang yang bekerja keras menangkan parti, tetapi yang dapat nikmat jawatan adalah mereka yang tidak membantu parti.”

Justeru itu kata Nicole, timbul persoalan adakah di bawah PH rakyat mestilah pandai berpolitik dahulu, supaya dapat jawatan tinggi dengan gaji besar dan bukannya pengetahuan dan kaliber yang handal dalam sesuatu bidang.

Antara nama-nama yang mendapat lantikan politik adalah seperti Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); Wan Saiful Wan Jan – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); dan isteri kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Junaidah Kitting – Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia.

Manakala nama-nama lain seperti Timbalan Ketua Pemuda PAN Nasional, Faiz Fadzil dengan jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pengerusi PAN Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah sebagai Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PAN Nasional, Mazlan Aliman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Pengerusi PH Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.