Ketidakadilan Buat Anggota Polis, Apa Perlunya PH Nak Tubuh IPCMC – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan adakah perlu Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku (IPCMC) ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH)?

Katanya, tujuan IPCMC adalah untuk mengawal salah laku polis dan hukuman terhadap mereka maka persoalannya kenapa hanya untuk polis dan tidak untuk agensi penguatkuasaan yang lain?

“Adakah kerajaan PH menganggap badan-badan ini gagal sehingga mengusulkan cadangan untuk menubuhkan IPCMC?” soal beliau lagi dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebooknya.

Terang beliau yang juga Ahli Parlimen Bera, di dalam Jabatan Polis pun sudah ada tiga badan yang menjaga dan mengawal salah laku pihak polis dan sebagainya iaitu Jabatan Integriti dan Peraturan Standard, Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib 1993 dan yang paling penting adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Polis yang termaktub didalam Artikel Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan siasatan dan juga tindakan tatatertib terhadap polis.

“Malah terdapat agensi dan NGO lain yang mengawasi PDRM seperti SPRM, SUHAKAM, SUARAM dan lain-lain.

“Kita juga mempersoalkan kebebasan IPCMC kerana lantikan Ahli Suruhanjaya oleh YDP Agung adalah diatas nasihat YAB Perdana Menteri. Tidak ada kriteria dan syarat untuk menjadi Ahli Suruhanjaya IPCMC, maka terpulang kepada Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja.

“Mungkin ahli politik dari parti tertentu atau NGO yang menentang polis selama ini, maka suruhanjaya ini tidak akan bebas membuat keputusan atau terikat dengan agenda-agenda tertentu.”

Katanya, kerajaan sudah mempunyai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk mengawasi dan mengambil tindakan terhadap 21 agensi penguatkuasaan di jabatan atau kementerian termasuk PDRM.

“Oleh itu tidak perlu lagi diwujudkan suruhanjaya yang baru khusus untuk polis seperti IPCMC. Kerajaan seharusnya memperkasakan serta menambah baik EAIC ini.

“Kita mencadangkan kerajaan membuat kajian menyeluruh terhadap PDRM iaitu bukan sahaja terhadap isu salah laku malah isu yang lebih besar iaitu kebajikan anggota polis dan keluarga mereka seperti isu gaji, perumahan, kenderaan polis, penambahbaikkan balai dan lain-lain.

“Kita sebagai rakyat seharusnya terhutang budi dengan pengorbanan anggota polis serta keluarga yang menggadaikan masa dan nyawa mereka bagi menjaga kita semua.”

Oleh itu, tegas beliau lagi, janganlah sesekali melakukan perkara yang boleh meruntuhkan semangat mereka seperti pewujudan IPCMC ini.

Pada Mei lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata rang undang-undang (RUU) IPCMC akan dibentang di parlimen tahun ini bagi membolehkan IPCMC dibentuk sebelum akhir tahun ini.

Lantas, pada Julai kemudiannya, RUU dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat dan IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Namun RUU IPCMC akhirnya tidak ditentukan dalam persidangan di parlimen Isnin lalu, tetapi dipanjangkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dikaji sebelum dibawa kembali ke Dewan Rakyat bagi diputuskan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.