Hanipa Tak Profesional Dan Matang… Isu Tak Jawab, Lebih Kepada Provokasi – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ketua Whip Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid menempelak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin yang bersikap tidak matang dan profesional ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan).

Sebagai pemimpin kerajaan yang dipertanggungjawabkan menjaga undang-undang, Mahdzir berkata Ahli Jawatankuasa Pusat PAN itu telah menjatuhkan maruah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana di dalam penggulungannya hanya membuat provokasi dan tidak menjawab isu-isu serta persoalan yang telah dibangkitkan sepanjang perbahasan ahli Dewan Rakyat selama dua hari.

“Saya amat merasa kecewa akan kejadian ini, termasuklah sedih kerana seorang pemimpin yang tertinggi di dalam kerajaan Malaysia bersikap begini di dalam Dewan yang penuh mulia.

“Ahli Parlimen pembangkang juga telah membantah pemansuhan Undang-Undang Antiberita Tidak Benar ini dengan undian belah bahagian.

“Alhamdulillah walaupun tewas undian sebentar tadi, petang ini Ahli Parlimen BN, PAS dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) bersatu hati dalam memberikan undian tidak bersetuju dengan RUU ini,” ujar Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap dalam satu kenyataan.

Seterusnya, Naib Presiden UMNO itu berkata ia merupakan permulaan yang baik bagi pihak pembangkang untuk terus berjuang dengan penuh semangat dalam membangkitkan isu-isu rakyat.

Mahdzir juga berkata apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini merupakan satu sejarah hitam buat dewan tersebut. – UMNO ONLINE