Cakap Malaysia Baru Tapi Menuju Zaman Batu… Semua Mundur Ke Belakang – Bung Mokhtar


KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ahli Parlimen Kinabantangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) ekoran keadaan negara hari yang memperlihatkan mundur kebelakang termasuklah berkaitan dengan penggubalan atau pemansuhan akta.

Katanya, Malaysia hari ini, asal ada akta semua mundur ke belakang dan tidak ada yang mencadang untuk maju ke hadapan.

“Bagaimana tidak mundur… ekonomi mundur kerana menunaikan janji PRU maka GST dihapuskan diganti kembali dengan SST yang ternyata mundur lagi sedangkan hampir 200 negara di dunia ini mengamalkan sistem percukaian yang efisyen.

“Kita menuju zaman batu semula… cakap Malaysia baru sedangkan kelompangan dari pemsuhan GST melibatkan 20 bilion hilang, jadi bagaimana nak menghidupkan ekonomi negara, pelabur lari… bagaimana nak meletakkan masa depan negara jika kita mahu membubar akta yang lebih baik, bukankah mencegah lebih baik daripada mengubat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019.

Soal beliau, apakah kita ingin melihat negara ini menjadi seperti padang jarak padang tekukur, rakyat menjadi bermusuh-musuhan, provokasi meningkat, fitnah sana sini, berita palsu menular?

“Berita palsu bermakna fitnah… satu perkara yang amat luar biasa… yang boleh membunuh masa depan sesebuah negara bukan sahaja manusia. Kita kena fikir apa masalahnya sehingga akta ini mahu dihapuskan?

“Kepada mereka yang ada niat nak melakukan fitnah tentulah gementar tetapi macam saya dan rakan-rakan di sini kita tidak mengamalkan budaya fitnah jadi apa mahu takut.”

Tegasnya, hari ini sahaja dapat dilihat bagaimana provokasi melampau, penghinaan agama, penghinaan institusi di-Raja dan macam-macam berita palsu ini bertebaran di sana sini.

“Kebebasan bersuara ada hadnya… kalau bubar akta ini atas alasan untuk kebebasan bersuara untuk apa?

“Kerajaan tergesa-gesa membuat keputusan tanpa memikirkan masa depan yang kondusif kepada rakyat. RUU ini melindungi kepentingan awam dan rakyat daripada penyebaran berita palsu juga membenarkan mana-mana orang yang difitnah untuk memohon dari mahkamah menghapuskan penerbitan tersebut.

“Berita tidak benar, berita palsu ini boleh meruntuhkan satu-satu negara maka ahli-ahli Parlimen perlulah bersuara demi kepentingan rakyat, tegakkanlah kebenaran dan buanglah kebatilan, biarpun dari sebelah kerajaan tetapi janganlah bertindak mendengar saja dan menutup mulut. Kita jangan bersubahat, jangan bersekongkol dengan keadaan yang tidak dibenarkan oleh rakyat,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.