Aset Negara Dijual Lagi, PH Lenyapkan Legasi KTM Di Singapura – Najib

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Bekas Perdana Menteri sedih melihat tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjual Hotel Andaz Singapura kepada sebuah syarikat negara tersebut semalam.

Ujarnya, hotel tersebut adalah sebahagian dari projek DUO yang terletak di kawasan Pusat Bandar Baru (CBD) Singapura yang sedang pesat membangun.

“Projek DUO pula dibangun di atas sebahagian tanah yang ditukar dengan tanah Tanjong Pagar KTM.

“Hotel Andaz telah dijual dengan harga RM1.45 bilion.

“Projek DUO pula telah dijual pada bulan Julai dengan harga RM4.7 bilion,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Menurutnya, hotel 5 bintang Andaz adalah antara hotel paling mewah di Singapura pada masa kini manakala semua bangunan-bangunan di DUO Towers pula menikmati ‘full occupancy’ setelah berjaya disewa kepada syarikat-syarikat antarabangsa terkenal seperti Abbott Laboratories Inc, Chevron Corp dan Mastercard.

Tambah Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, aset-aset tersebut sepatutnya disimpan untuk memberi pulangan tahunan bagi jangka panjang kepada negara.

“Tapi dijual pula demi mengaut sedikit keuntungan untuk tahun ini.

“Dengan menjual hotel dan projek DUO ini, kerajaan PH sebenarnya telah melenyapkan sebahagian dari legasi pemilikan tanah KTM di Singapura,” bidasnya.

Ini kerana kata Ahli Parlimen Pekan itu, perjalanan yang bermula pada tahun 2010 untuk mendapat dan membangunkan tanah-tanah tersebut bukan perkara mudah.

“Ada perundingan dua hala antara negara.

“Ada pertengkaran antara negara bernilai RM4.5 bilion di Mahkamah Antarabangsa yang kita menang.

“Tetapi dijual bailk kepada negara Singapura oleh kerajaan PH dalam masa sekelip mata sahaja,” kesalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.