Pahang Pertama Guna Loji Rawatan Efluen Kilang Sawit Mesra Alam
KUANTAN, 8 Okt – Pahang menjadi negeri pertama di Malaysia menggunakan loji rawatan efluen yang dihasilkan oleh kilang kelapa sawit berteknologi tinggi dari Jepun yang bersifat sangat mesra alam.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, teknologi yang dibangunkan I.H.I Corporation dengan kos RM15 juta itu dibangunkan di Kilang Sawit Dominion Square Sdn Bhd di sini, milik Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Corporation Sdn Bhd (LKPP).
Untuk rekod, LKPP adalah anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKPP) yang aktif dalam pelbagai perniagaan seperti industri kelapa sawit, ternakan dan tenusu.
Wan Rosdy berkata, loji itu bukan sekadar merawat efluen yang dihasilkan kilang, tetapi juga berkemampuan mengambil semula minyak yang terlepas keluar bersama sisa untuk dikembalikan ke kilang.
“Loji rawatan ini juga difahamkan satu-satunya loji yang boleh merawat sisa ke tahap paling minimum dengan nilai ‘Biological Oxygen Demand (BOD) yang dilepaskan ke alur air ialah 20 part per million (PPM) ke bawah.
“Tahap yang dibenarkan oleh undang-undang dan masih dikira selamat serta bersih ialah kira-kira 100 PPM, yang menunjukkan loji ini ialah kira-kira lima kali ganda lebih selamat daripada yang dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Loji Rawatan Efluan I.H.I Kilang Sawit di kilang sawit itu di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah I.H.I Corporation Nobuhiko Kubota.
Loji itu juga dilengkapi dengan pembakar biogas yang mampu menukar gas metana yang dihasilkan semasa proses pembersihan, kepada karbon dioksida dan secara langsung dapat mengurangkan kesan rumah hijau.
“Saya juga berharap pemilik kilang sawit lain boleh mencontohi langkah ini dalam memainkan peranan menjaga alam sekitar sekaligus memberi imej baik kepada industri kelapa sawit negara terutama di Pahang,” katanya.
Loji rawatan yang mula beroperasi Oktober 2018 dengan keseluruhan kos ditanggung sepenuhnya oleh I.H.I Corporation itu menyaksikan efluen daripada kilang kelapa sawit perlu melalui enam proses rawatan dalam tempoh antara dua ke tiga hari.
Sementara itu, Kubota menerusi khidmat penterjemah memberitahu selain rawatan air, mereka juga bersedia menjalin kerjasama dalam rawatan biomas seperti memproses tandan kosong kepada bahan bakar atau merawat batang kelapa sawit untuk dijadikan bahan untuk dinding rumah di Jepun atau plastik.
“Kami sudah ada resolusi bagaimana perkara ini boleh dilakukan dan LKPP mempunyai sumber yang boleh dibangunkan. Setakat ini, kami amat berbangga dengan sokongan kuat dan berterusan diterima dalam isu alam sekitar berkaitan kelapa sawit di sini,” katanya. – BERNAMA