Kongres Yang Gagal, Maruah Melayu Semakin Ditekan – Hairi


KUALA LUMPUR 8 Okt – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Kongres Maruah Melayu yang diadakan baru-baru ini benar-benar mengecewakan majoriti masyarakat Melayu.

Jelas beliau, orang Melayu kini sudah bersedia untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya membentuk kerajaan yang kuat membela nasib dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Hairi menjelaskan lebih 70 peratus ucapan Tun Mahathir menjatuhkan imej kaum tersebut selain tidak menampakkan elemen baharu ke arah menuju kekuatan perpaduan ummah.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyifatkan kenyataan dan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu Kongres Maruah Melayu 2019 yang diadakan pada 6 Oktober begitu mengecewakan kerana sekadar menghina bangsa Melayu sendiri tanpa ada idea baru yang diketengahkan.

“Apakah Tun Mahathir hanya mahu berdiam diri dan membiarkan maruah Melayu dirobek-robek.

“Jika Tun Mahathir sayangkan orang Melayu, bubarkan Parlimen kerana orang Melayu sudah nampak kesilapan kerana salah pilih kerajaan,” katanya kepada UMNO-Online.

Ini jelas memberi isyarat bahawa kerajaan pimpinan PH tidak pro-Melayu dan tidak cukup kuat untuk membela nasib orang Melayu kerana dikuasai oleh bukan Islam khususnya Dap, katanya lagi.

Dalam amanatnya, Tun Mahathir mengakui kerajaan PH walaupun dipimpin oleh orang Melayu tetapi gagal menjayakan agenda Melayu.

Tambah Hairi, maruah Melayu di zaman pemerintahan PH sememangnya sudah banyak tercalar, dan semakin hari maruah Melayu semakin ditekan oleh puak cauvinis yang memperjuangkan kesamarataan.

“Kerajaan PH tidak membela dan memperjuangkan agenda Melayu bumiputera yang semakin hari semakin ditekan oleh pihak tertentu, sebab itulah tanpa berselindung mengakui kerajaannya kini ‘tak cukup Melayu”. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.