UMNO Konsisten Menentang IPCMC, Jangan Hina Dan Rendahkan Martabat PDRM


KUALA LUMPUR, 7 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa UMNO telah menentang Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) secara konsisten berdasarkan ada penolakan sejak ianya dicadangkan oleh pembangkang ketika itu iaitu penolakan dua persatuan oleh Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) dan Persatuan Pegawai-pegawai Rendah Polis (PPRP).

Selain itu, katanya, tiada keperluan untuk mewujudkan IPCMC kerana Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) sudah memadai dan cukup lengkap untuk memantau semua agensi penguatkuasaan termasuk PDRM.

“PDRM juga telah mempunyai Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang bertanggungjawab menjaga dan mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai dan anggota polis.

“Janganlah menghina dan merendah-rendahkan martabat PDRM. Mereka telah bertungkus-lumus dan berkorban untuk menjaga keselamatan negara, membanteras jenayah serta menjaga ketenteraman awam,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Sepatutnya, kata beliau, kebajikan anggota PDRM dijaga, keperluan peralatan dipertingkatkan dan skim perkhidmatan dinaikkan taraf sesuai dengan tugas mereka yang semakin berat.

“UMNO amat prihatin dengan kebajikan keluarga pegawai dan anggota PDRM. Semestinya integriti PDRM dipertahankan,” katanya lagi.

Pada Julai lalu, RUU dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat dan IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Namun RUU IPCMC akhirnya tidak ditentukan hari ini, tetapi dipanjangkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dikaji sebelum dibawa kembali ke Dewan Rakyat bagi diputuskan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.