Tun Mahathir Boleh Bersama BN, PAS Jika Betul-betul Ikhlas – Tok Mat


KUALA LUMPUR 7 Okt.- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh menubuhkan sebuah kerajaan baharu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pas serta rakan dari Sabah dan Sarawak sekiranya Ahli Parlimen Langkawi itu ikhlas mahukan kedudukan Melayu dan Islam dimartabatkan.

Namun begitu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dan Pas harus diberi peranan yang signifikan dalam memulihkan negara ini dan bukan sekadar menjadi penumpang sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.

“Buat masa ini pisau dan mentimun di tangan Tun Mahathir, tetapi bila tiba pilihan raya akan datang, pisau ini sudah di tangan rakyat. Terserahlah kepada Tun Mahathir untuk membuat keputusan, kerana buat masa ini majoriti orang Melayu Islam sudah membuat keputusan menolak Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menambah, beliau bersetuju dengan gesaan Dr. Mahathir agar orang Melayu dan Islam bersatu namun yang menimbulkan persoalan, penyatuan bagaimana yang dimahukan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Jelasnya, jika secara rasional, kumpulan kecil umat Melayu Islam haruslah menyertai kelompok yang lebih besar dan pada hari ini kumpulan terbesar orang Melayu Islam berada dalam gagasan Penyatuan Ummah.

“Saya yakin UMNO dan Pas tiada masalah untuk menerima penyertaan Tun Mahathir dan Bersatu ke dalam agenda besar umat Melayu Islam ini. Persoalannya, apakah Tun Mahathir sanggup berkorban jawatan dan kepentingan bagi mengangkat semula kuasa umat Melayu Islam di negara ini?

“Insya-Allah jika Tun Mahathir jujur dan mahu melihat Melayu Islam menjadi kuasa politik yang kuat, beliau tiada masalah berkompromi dengan UMNO dan Pas,” katanya.

Namun begitu, menurut Mohamad, masalah yang berlaku hari ini adalah kerana Dr. Mahathir hanya melihat daripada sudut pandangan dirinya sahaja.

“Ada pandangan beliau yang betul dan ada juga yang salah, yang benar kita kena akui benar. Namun banyak keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini telah menyebabkan orang Islam dan Melayu marah dan kecewa serta merasa terhina di tanah air sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kongres Maruah Melayu yang berlangsung semalam telah mengesahkan segala dakwaan UMNO dan Pas selama ini bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kepentingan masyarakat Melayu dan pribumi lain sedang terhakis di bawah pentadbiran PH.

“Rumusan ahli akademik dan ahli politik biasa-biasa ini, turut diakui sendiri oleh Tun Mahathir dalam ucapan penutupnya. Walaupun Tun Mahathir cuba meletakkan kesalahan tersebut kepada orang Melayu dan UMNO, namun ia tidak dapat menafikan kelemahan kerajaan PH,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.