Singkir Dap, PKR dan Amanah dari Kabinet

KOTA BHARU 7 Sept. – Kongres Maruah Melayu tidak akan memberikan sebarang makna jika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengambil tindakan drastik menyingkirkan pemimpin DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) daripada Kabinet.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Nor berkata, pemimpin DAP yang rasis dan PKR yang oppurtunis telah mencipta pelbagai insiden yang menyemarakkan lagi api perkauman untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Beliau berkata, Dr. Mahathir seharusnya risau serta peka dengan gerakan-gerakan daripada DAP, PKR dan Amanah yang secara senyap-senyap ingin menyekat agenda pembangunan Melayu Bumiputera yang seterusnya melenyapkan terus segala kelebihan yang diberikan kepada bangsa ini.

“Isu rusuhan kuil; ratifikasi ICERD; menandatangani Statut Rom; mengiktiraf golongan LGBT; isu bendera terbalik; hina Yang di-Pertuan Agong; Peguam Negara yang berat sebelah dan penjualan aset-aset syarikat strategik negara kepada kuasa asing semestinya meresahkan orang-orang Melayu Islam negara ini.

“Justeru, Pemuda UMNO negeri Kelantan mendesak agar Dr. Mahathir menggunakan kuasa prerogatif sebagai Perdana Menteri untuk memecat menteri-menteri Kabinet daripada DAP, PKR dan Amanah sekaligus membuktikan bahawa beliau serius terhadap nasib dan kepentingan maruah orang Melayu Islam di negara ini,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir menyampaikan amanat dalam Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati, Shah Alam yang turut menghimpunkan pemimpin parti politik Melayu seperti daripada Pas dan UMNO.

Noor Hariri berkata, kesemua tuntutan yang dibuat dalam resolusi yang dibentankang mengikut lima kluster iaitu politik, agama, budaya, pendidikan dan ekonomi amat menyamai apa yang telah diperjuangkan oleh Pemuda Umno sebelum ini yang sentiasa mendesak Kerajaan Pakatan Harapan supaya menjaga hak istimewa orang Melayu dan Islam.

“Langkah pertama, Dr. Mahathir perlu memecat Lim Guan Eng; Mohamad Sabu; P. Waythamoorthy; S. Kulasegaran; Teresa Kok; Xavier Jayakumar dan Saifuddin Nasution yang selama ini banyak mencetus api perkauman dan mengeluarkan pernyataan-pernyataan bodoh dan dangkal.

“Seterusnya, gantilah dengan pemimpin-pemimpin yang tentunya dapat menjayakan agenda nasional Melayu Islam tanpa meminggirkan bangsa dan agama lain. Tun Mahathir juga perlulah memikir sedalam-dalamnya supaya tidak menyerahkan tampuk pimpinan Perdana Menteri kepada orang yang rekodnya lidah bercabang dan
dijadikan kuda oleh DAP ini,” katanya.

Tambah beliau, jika Perdana Menteri buntu, pihaknya mencadangkan agar Parlimen dibubarkan segera kerana itu adalah jalan terbaik untuk memberikan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu yang tentunya boleh menjaga kebajikan dan kehendak semua lapisan masyarakat.

“Marilah bersama-sama dengan kami kerana jelas sekali penyatuan ummah dan Muafakat Nasional di antara UMNO dan Pas bersama-sama dengan MCA dan MIC ini jelas sebagai wadah terbaik untuk memimpin negara ke arah yang terbaik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.