Sekolah Vernakular: PH Harus Buat Keputusan Demi Kebaikan Untuk Rakyat – Mahdzir


KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerajaan hari ini harus membuat apa-apa keputusan yang memberi keuntungan kepada masyarakat dengan melihat kemajmukan rakyat Malaysia sebagaimana wujudnya sekolah vernakular untuk semua bangsa.

Jelas beliau apa-apa pun polisi yang telah diputuskan oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) sehinggalah pada kerajaan Pakatan Harapan (PH) maka syor sekolah vernakular sekarang mestilah diputuskan oleh kerajaan hari ini.

“Saya ingat sekolah vernakular sudah diadakan semenjak merdeka sehinggalah sekarang. Apa-apa nak dibuat hendaklah satu keputusan yang memberi kebaikan kepada rakyat.

“Mereka (PH) harus memikirkan dan melihat bagaimana keputusan itu memberi keuntungan kepada masyarakat majmuk dalam negara ini,” katanya kepada media di Parlimen hari ini, di sini.

Bekas Menteri Pendidikan itu memaklumkan bahawa dasar-dasar yang dibuat oleh pemimpin terdahulu mempunyai nilai yang positif kepada masyarakat mengikut pada masa itu.

“Kita selepas merdeka sudah buat sekolah vernakular dan kita buat tiga sekolah iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil… itu dari awal kita buat.

“Kalau sekarang ni nak buat (perubahan) sama ada boleh panggil semua kaum dan pelbagai para akademik, profesional berbincang… boleh atau tidak sampai ke situ?” soalnya.

Jelasnya, sebagai contoh di negara-negara lain di Asia Tenggara, mereka tiada sistem seperti Malaysia tapi negara luar buat dari awal.

“Indonesia selepas merdeka memperkenalkan Pancasila iaitu satu bahasa satu bangsa. Thailand pun sama dan buat polisi sendiri dan tiada mengikut mana-mana sistem Eropah … melaksanakan sistem sendiri, begitu juga Singapura memperkenalkan sekolah satu aliran,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.