Salahkan Diri Sendiri Kerana Orang Melayu Berpecah

JITRA 7 Okt. – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menyalahkan diri mereka sendiri terlebih dahulu kerana kedua-duanyalah yang didakwa menjadi punca sebenar kepada perpecahan orang Melayu.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, malah disebabkan kedua-dua pemimpin itulah yang berebut kuasa untuk menjadi Perdana Menteri, sebagai punca sehingga kerajaan diterajui orang Melayu dijatuhkan.

“Kita setuju dengan kenyataan Dr. Mahathir bahawa orang Melayu kini yang berpecah dan berebut kuasa, menjadi punca menyebabkan kaum ini tidak kuat.

“Tetapi sedarkah beliau (Dr. Mahathir) sendiri yang ‘menaja’ perpecahan orang Melayu ke tahap serius,” soalnya dalam sidang akhbar di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, kata Mohamad Fadzil, Kongres Maruah Melayu akan menjadi medan syok sendiri jika Pakatan Harapan (PH) gagal mengambil tindakan terhadap DAP yang telah banyak kali melanggar syarat kontrak sosial.

“Pemuda UMNO Kedah yakin kenyataan Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling semasa berucap dalam Kongres Maruah Melayu (semalam) bahawa kontrak sosial boleh digantung jika terus dicabar pihak tertentu ditujukan kepada DAP.

“Harus diingat bahawa kontrak sosial ini dicapai adalah atas budi baik orang Melayu semasa ingin mendapatkan kemerdekaan,” kata beliau lagi.

Semalam, semasa berucap sempena Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, Selangor, Dr. Mahathir menjelaskan orang Melayu di negara ini terpecah kepada enam badan kecil sehingga tidak ada satu pun daripada kumpulan itu mampu meraih 50 peratus sokongan rakyat.

Perkara itu kata Perdana Menteri menyebabkan orang Melayu lemah dan terpaksa bergantung kepada kaum lain untuk memperoleh kemenangan. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.