Maruah Melayu Tergadai Akibat Parti Politik Melayu Dalam Kerajaan PH Itu Sendiri – Annuar


KUALA LUMPUR, 7 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa melihat terdapat kebaikan di dalam resolusi-resolusi yang dibentangkan di dalam Kongres Maruah Melayu namun sayangnya ia hanyalah resolusi kongres anjuran universiti.

Katanya, sejauh mana ia akan dilaksana tidak mendapat jaminan apa-apa dari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Malah Perdana Menteri (Tun Mahathir Mohamad) dalam ucapannya mengakui kerajaan pimpinannya sekarang tidak kuat kemelayuannya dan terpaksa menjaga hati orang lain.

“Jika sudah begitu pengakuannya, bererti maruah Melayu telah tergadai akibat parti politik Melayu dalam kerajaan itu sendiri,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Annuar turut memetik kata-kata Tun M (Mahathir) di dalam kongres tersebut yang mengakui kerajaan PH walaupun dipimpin oleh orang Melayu tetapi gagal menjayakan agenda Melayu.

Tun Mahathir berkata:

“Saya nak mengaku di sini kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu tidak sekuat kemelayuannya sekarang.

“Kalau dahulu kita boleh harap kerana kerajaan dipimpin oleh orang Melayu kerana orang Melayu memang kuat. Tidak kuat kerana nak tak nak pun kita kena ambil kira perasaan orang lain.”

Justeru itu ujar Annuar, tepatlah tindakan ta’awun UMNO-PAS dan Piagam Muafakat Nasional (MN), yang merupakan satu komitmen jelas menyatukan ummah dan seterusnya menyusun ‘road map’ baru bagi membela maruah bangsa Melayu.

“Justeru kita akan meneruskan pemerkasaan MN sebagai satu jalan tuntas.

“Melayu yang mengaku lemah dalam kerajaan PH boleh jua turut serta dlm MN, asalkan mereka tidak lagi menggadai kedudukan, maruah dan kuasa kepada pihak yang jelas diketahui tidak menyenangi kekuatan dan kedudukan orang Melayu.

“Bak kata Tun M, Melayu sendiri yang tak mahu mengambil tanggungjawab terhadap sesuatu, maka sewajarnyalah orang lain menguasai mereka,” tambah Ahli Parlimen Ketereh itu lagi.

Annuar juga merumuskan bahawa orang Melayu menerusi UMNO dan PAS memulakan penyatuan dan menggerakkan MN.

“Kita mengajak seluruh umat Melayu bersama dalam muafakat besar ini. Insya-Allah dilema Melayu kita lenyapkan dan kita tidak tergolong dalam kalangan Melayu yang mudah lupa, Insya-Allah,” ujarnya.

Semalam, UMNO berjiwa besar menghadiri Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam yang dihadiri kira-kira enam ribu peserta yang kebanyakannya dipenuhi pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurut Annuar, kehadiran UMNO adalah atas dasar rasa tanggungjawab untuk mengikuti wacana berkaitan orang Melayu.

“Sebagai parti politik yang memikul mandat majoriti Melayu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk menghantar wakil bagi mengikuti perkembangan kongres itu,” jelasnya.

Atas keputusan MKT UMNO, Annuar yang mengetuai rombongan lima belas orang ahli MKT hadir ke kongres tersebut anjuran Pusat Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya (UM) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Antara yang hadir Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; MKT, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim, Datuk Armand Azha Abu Hanifah; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pengerusi BPUN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi BPUN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Manakala PAS pula diwakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakon dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Lima Resolusi telah berjaya dikumpul menerusi perbincangan meja bulat dan rumusannya dibentangkan oleh wakil-wakil daripada UPM bagi Resolusi Kebudayaan, UiTM (Resolusi Ekonomi), UPSI (Resolusi Pendidikan), Ahli Parlimen Pasir Mas dari PAS (Resolusi Agama), dan UM (Resolusi Politik). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.