Kongres Maruah Melayu: Ucapan PM Tak Selari Dengan Resolusi, Masih Hina Dan Provokasi Terhadap Melayu


KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar hairan melihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersikap seolah-olah tidak memahami resolusi yang dibentangkan oleh wakil-wakil yang dipertanggungjawabkan.

“Kita dihidangkan dengan ucapan yang sama sepertimana 20 tahun dahulu. Masih menghina dan membuat provokasi terhadap Melayu.

“Sampai bila? Soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, atas keputusan MKT, UMNO menghantar wakil yang diketuai Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa bersama Noh dan beberapa orang lagi MKT hadir ke Kongres Maruah Melayu anjuran Pusat Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya (UM) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Stadium Malawati, Shah Alam.

Dalam amanatnya, Tun Dr Mahathir berterusan menyalahkan Melayu kerana malas dan tidak mahu rebut peluang.

Ironinya, dalam ucapannya juga, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengakui kerajaan PH walaupun dipimpin oleh orang Melayu tetapi gagal menjayakan agenda Melayu.

Lima Resolusi telah berjaya dikumpul menerusi perbincangan meja bulat dan rumusannya dibentangkan oleh wakil-wakil daripada UPM bagi Resolusi Kebudayaan, UiTM – Resolusi Ekonomi; UPSI – Resolusi Pendidikan; Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dari PAS – Resolusi Agama; dan UM bagi Resolusi Politik.

Ahmad Fadhli dalam resolusi agama menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membetulkan konsep Rahmatan Lil Alamin dan Hifz Ad Din serta kerajaan PH hendaklah melantik orang Melayu dan beragama Islam aliran Sunnah Wal Jamaah untuk jawatan utama di peringkat negeri dan negara, termasuk jawatan peguam negara.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, dari satu sudut kongres tersebut berjaya menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik.

“Kita juga tidak dapat menafikan penyatuan seperti ini antara punca Dap dalam ketakutan kerana mereka faham antara kekuatan Melayu adalah perpaduan sepertimana orang-orang Melayu dahulu menentang Malayan Union,” katanya.

Jumaat lalu, Penasihat Dap, Lim Kit Siang mempertikaikan pihak Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menganjurkan Kongres Maruah Melayu. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.