Kerajaan PH Perlu Bijak Tangani Revolusi Industri 4.0, Elak Pengangguran – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memikirkan jalan penyelesaian dalam menangani arus Revolusi Industri 4.0 supaya rakyat tidak menjadi korban kepada pembangunan teknologi yang akhirnya akan mewujudkan jurang pendapatan serta masalah sosial lain, ujar Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.

Dr Najmil berkata demikian merujuk kepada laporan Pekerjaan Masa Hadapan 2018 yang dirumuskan World Economic Forum menjangkakan 133 juta jenis pekerjaan akan pupus akibat peralihan teknologi yang dibawa Revolusi Industri 4.0.

Sehubungan itu Dr Najmil berpandangan Malaysia juga tidak terkecuali daripada impak tersebut yang akan menjejaskan penyertaan tenaga buruh serta meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Bayangkan jika Revolusi Industri tidak dikawal dengan bijak, bagaimanakah nasib golongan B40 dan mereka yang tidak mempunyai kepakaran profesional?

“Kebanyakan pekerjaan bakal pupus membabitkan kerja rutin seperti perkeranian, pentadbiran serta pekerja pemasangan dan kilang merangkumi kerani kemasukan data, setiausaha eksekutif, akauntan dan juruaudit jika Revolusi Industri tidak dikawal dengan cekap,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Najmil turut membentangkan hasil dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia yang melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur.

“Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah.

“Jumlah ini amat membimbangkan kerana golongan siswazah sudah pun tergolong dalam buruh profesional namun masih tidak mendapat pekerjaan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, dalam mengejar pembangunan, aspek kemanusiaan tidak boleh diambil mudah kerana ianya melibatkan survival kehidupan seharian manusia yang semakin hari semakin tertekan.

“Kerajaan haruslah bijak mengimbangi masalah ini dengan menumpukan sektor lain seperti pertanian, perladangan dan perikanan.

“Misalnya, semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), Program Transformasi Ekonomi berjaya mencatatkan pendapatan negara kasar (PNK) komited berjumlah RM9.224 bilion, membuka 28,645 peluang pekerjaan dan menjanjikan pelaburan komited bernilai RM7.7 bilion dalam sektor pertanian,” kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu.

Oleh kerana itulah menurutnya Malaysia perlu mempunyai pendirian yang kukuh dalam isu tersebut kerana Program Transformasi Ekonomi tidak meminggirkan sektor perkhidmatan di mana telah menyediakan peluang pekerjaan kepada sebanyak 1.78 juta orang dan menyumbang sebanyak 54 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Justeru, Dr Najmil menggesa kerajaan PH mencari jalan penyelesaian dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 supaya negara tidak menjadi korban kepada peralihan teknologi ini. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.