Bukti gerakan penyatuan ummah tepat – Wan Rosdy

KUANTAN 7 Okt. – Pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sekarang tidak kuat kemelayuannya walaupun dipimpin orang Melayu membuktikan tindakan UMNO dan Pas menjayakan gerakan penyatuan ummah diikuti pemeteraian Piagam Muafakat Nasional adalah tepat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyatuan ummah dan Mufakat Nasional merupakan intipati perjuangan kedua-dua buah parti berkenaan kerana melihat kepentingan orang Melayu di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr. Mahathir terhakis teruk dan tergugat.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun percaya ‘nasi belum lagi menjadi bubur’ bagi orang Melayu.

“Sepertimana kebimbangan dan kesayuan Tun Dr. Mahathir telah luahkan semasa Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati di Shah Alam, Selangor semalam, itulah juga yang menjadi kebimbangan dan kesayuan saya serta rakan-rakan saya.

“Mungkin selepas ini akan ada satu gerakan yang lebih besar bersama-sama demi mengukuhkan kuasa kemelayuan kita yang dalam masa yang sama tidak mengeyepikan hak-hak bukan Melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.