BN Berpotensi Menang PRK Tanjung Piai, Prestasi PH Menurun Drastik – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR 7 Okt – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata penolakan rakyat semakin memuncak semenjak Pakatan Harapan (PH) memerintah negara lebih setahun sementara Barisan Nasional (BN) berpotensi untuk menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November depan.

Katanya, kajian akan terus dilakukan dan kesimpulannya masih terlalu awal hendak memutuskan siapa calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Kalau dah turun 30 peratus, peluang kita di PRK Tanjung Piai mungkin boleh menang dan ada kajian tentang itu… kita kena kaji dan kejatuhan sebanyak 30 peratus prestasi kerajaan hari ini sangat bagus.

“Kita belum letak mana-mana calon lagi tetapi sentimen pada rakyat menolak (PH) pada hari ini seperti juga penolakan di PRK Semenyih, Rantau dan juga Cameron Highlands. Waktu itu penolakan rakyat terhadap kerajaan belum sampai 30 peratus,” katanya kepada media di Parlimen hari ini, di sini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan Barisan Nasional (BN) sedang membuat kajian dari akar umbi tentang penerimaan rakyat dan siapa yang akan bertanding mewakili parti dan mesti menang.

Tambahnya semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu, Parlimen Tanjung Piai mengalami kekalahan sebanyak lebih 500 undi kerana tiga penjuru maka sekiranya dua penjuru peluang sudah pasti boleh menang besar.

“Apa-apa pun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Kita tidak tahu isu-isu tempatan, kita yakin sentimen rakyat seluruh negara dan insya-Allah kita boleh menang.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.