Ahmad Maslan Nafi Terima Wang 1MDB

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tampil menegaskan bahawa beliau bukan antara individu yang didakwa menerima wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan berkata, perbincangan dengan peguamnya akan dilakukan untuk mengambil tindakan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memintanya memulangkan wang dipercayai daripada 1MDB.

“Saya sudah memaklumkan bahawa saya tidak pernah menerima cek dengan sejumlah yang ditunjukkan salinan cek kepada saya oleh pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM itu.

“Saya juga sudah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa saya tidak pernah menerima wang seperti yang dinyatakan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya hari ini berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.

Kata beliau, individu dan entiti yang menerima kompaun itu diberi tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.

Latheefa berkata, secara purata individu terbabit menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta, sementara entiti terlibat menerima wang sehingga RM134 juta. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.